Setahun penuh erti

Oleh Siti Nur Almizan Aripin  
Kemenangan Sultina hasil tunjuk ajar Adiguru Tenun Pahang

TEMPOH masa setahun sebenarnya sangat singkat untuk seseorang mempelajari sesuatu yang rumit, namun Sultina Ali, 38, wanita berbakat besar dari Pulau Keladi, Pekan, Pahang membuktikan kecekalan dan semangat tinggi mampu merungkai kekusutan serta kesukaran yang dihadapi.

Pada Jun 2009 menjadi detik mula untuknya mengubah diri. Tanpa asas di dalam menghasilkan seni kemahiran tangan Tenun Pahang Diraja, beliau tetap memberanikan diri untuk menghadiri kelas bersama satu-satunya Adiguru Tenun Pahang Diraja, Nor Tipah Abd Kadir, 70.

Selepas enam bulan menekuni selok-belok di dalam menghasilkan Tenun Pahang Diraja yang dipercayai mula bertapak di bumi Pahang sejak abad ke-17 masihi, Sultina akhirnya berjaya menggenggam segulung sijil bagi mengiktiraf kebolehannya.

Membanggakan, berkat ketekunan dan minatnya yang mendalam di dalam seni tenunan, Sultina akhirnya berjaya melakar sejarah di dalam kerjayanya sebagai penenun Tenun Pahang Diraja apabila dinobat sebagai pemenang kedua Pertandingan Tenun Pahang Diraja anjuran kerajaan negeri Pahang dengan kerjasama Kraftangan Malaysia (Kraftangan).

“Saya masih baru berbanding penenun yang lain, tapi saya punyai keinginan untuk belajar dan kejayaan ini saya ibaratkan sebagai hasil kerja keras guru saya iaitu Nor Tipah Abd Kadir,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Kompleks Kraf, baru-baru ini.


Sultina menghasilkan Tenun Pahang Diraja berwarna merah bata dengan rekaan corak digelar Bugis diperbuat daripada benang sutera. Dihasilkan dengan saiz dua meter, hasil kerja tangan Sultina dianggarkan bernilai RM3,000 di pasaran.


Dia membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM2,000 berserta sijil penyertaan, manakala pemenang tempat pertama, Izyana Mohd Nazri yang tidak hadir memenangi wang tunai bernilai RM3,000 dan tempat ketiga, Norhidayah Mohd Sharif mendapat RM1,000.

Seramai 31 penenun menyertai pertandingan menenun selendang panjang yang dianjurkan bertujuan untuk mengetengah dan meningkatkan kemahiran penenun Pahang di samping memartabatkan identiti Tenun Pahang Diraja.

Pemenang dinilai berdasarkan kriteria ditetapkan iaitu kain tenun mesti mempunyai Jalinan Pakan dan Loseng, penenun bebas menggunakan bahan tenunan seperti benang kapas, sutera, metalik dan sebagainya, manakala kain tenun akan dinilai berdasarkan kreativiti, reka corak serta kemasan.


Sementara itu, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Mohd Kamil Mohd Ali, berkata penganjuran pertandingan adalah untuk membantu memasarkan produk tradisi dan bukti dua pihak terbabit benar-benar serius membangunkan industri tenun Pahang.


“Ia juga diadakan selaras dengan usaha untuk mengekal dan menggalakkan pembabitan penenun serta pereka di dalam menghasilkan selendang panjang daripada kain tenun Pahang.


“Pembabitan golongan muda di dalam pertandingan ini juga telah memberikan petunjuk positif ke arah pembangunan perusahaan tenun Pahang di dalam jangka masa panjang dan diharapkan ia akan terus berkembang serta tidak hilang ditelan arus zaman,” katanya ketika berucap.


Adiguru kecewa kualiti merosot


“SEMUANYA kerana teknik mengetuk yang dibuat sekarang tergesa-gesa kerana mahu cepat siap menyebabkan kualiti kain tenun tidak kemas.


“Jika dulu, kami (penenun) mengetuk kain dengan kuat dan kemas, justeru jalinan benang lebih berkualiti serta tidak mudah terlerai,” kata Adiguru Tenun Pahang, Nor Tipah Abd Kadir ,70.


Katanya lagi, sehelai tenun Pahang berkualiti secara asasnya boleh disiapkan di dalam tempoh empat hari atau seminggu berbanding sekarang, sehelai kain disiapkan hanya dalam tempoh masa dua hari.


“Petua orang dulu-dulu, jalinan benang itu jika lebih lama berada di dalam ‘daging’ maka ia akan menjadi makin padat dan tidak mudah pecah. Itu petuanya, tapi orang muda sekarang, semuanya mahu cepat siap,” katanya kesal.


Berkemahiran menghasilkan Tenun Pahang sejak berusia 13 tahun memberikan 1,001 pengalaman kepada Nor Tipah yang juga berpangkat dua pupu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Kemahiran nenek kepada Nor Tipah dikenali sebagai Hajah Selema yang pernah dianugerahkan sebagai Tokoh Tenun Pahang suatu masa dulu sedikit sebanyak mengalir di dalam dirinya.


Di dalam pertandingan Tenun Pahang Diraja yang berlangsung baru-baru ini menyaksikan anak perempuannya, Izyana Mohd Nazri dinobat sebagai juara.


“Kemahiran menenun adalah kemahiran turun menurun dan saya adalah generasi ke-11 daripada keturunan Keraing Haji,” katanya.