Memaparkan catatan dengan label Tokoh Bugis. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tokoh Bugis. Papar semua catatan

Faqih Ali Al-Malbari moyang dan ulama raja-raja Melayu

TOKOH yang diperkenalkan ini berbeza dengan beberapa tokoh bernama Ali yang pernah dibicarakan sebelum ini, iaitu Syeikh Wan Ali bin Ishaq al-Fathani, Syarif Ali Brunei dan Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani.

Faqih Ali al-Malbari yang akan diperkenalkan dalam rencana kali ini juga bernama Andi' Ali. Terdapat percanggahan pendapat mengenai negeri asalnya kerana ada pendapat mengatakan beliau berasal dari negeri Malabar (India) dan pendapat yang lain pula mengatakan berasal dari negeri Bugis (Sulawesi Selatan, Indonesia). 

Dalam zaman yang sama, terdapat seorang lagi tokoh yang bernama Syeikh Faqih Ali yang berasal dari Patani yang dikatakan orang yang sama dengan Faqih Ali al-Malbari atau Andi' Ali, kerana sama-sama menjalankan aktiviti di Sulawesi Selatan, Johor, Kelantan dan Patani.

Namun demikian, penulis tidak dapat memastikan tentang perkara tersebut, apakah benar orang yang sama atau tokoh yang berlainan. Tetapi dapat dipastikan bahawa tokoh yang akan diperkenalkan ini adalah seorang tokoh besar dunia Melayu yang mempunyai zuriat yang ramai menjadi ulama dan raja dalam beberapa kerajaan di Patani dan Kelantan, bahkan terdapat juga di beberapa tempat-tempat lain dunia Melayu.

Asal Usul
Dalam buku yang bertajuk Ringkasan Cetera Kelantan oleh Datuk Nik Mahmud, Datuk Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan, ada menyatakan seperti berikut, “Syahdan pada suatu masa, bulan sedang mengambang, di tepi langit, tersebutlah anak raja Bugis lari daripada saudaranya. Menumpang sebuah bahtera sampai ke Johor dan tumpang duduk berkirim diri di rumah Laksamana Kota Tinggi. Dipanggil orang 'Andi' Ali'. Tatkala Laksamana memandang kepadanya, berasa kasihan belas, dan dipeliharakannya sebagai anak sendiri. Tidak berapa tahun kemudian daripada itu, dijodohkan dengan anaknya yang bernama 'Wan Tija'.

Dakwah Syekh Abdul Wahab Bugis di Tanah Banjar


Pengantar
Selama ini, publikasi terhadap tulisan sejarah dan kehidupan tokoh-tokoh lokal begitu terbatas dan agak susah diakses. Wajar jika, tulisan saya yang berjudul “Ketokohan Syekh Abdul Wahab Bugis di Tanah Banjar” (Opini, Jum’at 2 Juli 2004) mendapat sambutan yang positif. Apresiasi terhadap tulisan tersebut memotivasi saya untuk lebih mengenalkan secara dekat tokoh-tokoh besar yang telah mengharumkan banua dalam perjuangan dan syiar dakwah serta dalam perkembangan ilmu-ilmu keislaman. Sehingga dengan adanya publikasi secara tertulis terhadap sedikit dari biografi dan pemikiran mereka yang bisa diramu, diharapkan generasi sekarang akan lebih tahu tentang sejarah hidup, sumbangan pikiran, dan perjuangan yang telah mereka curahkan untuk kejayaan Islam dan kesejahteraan hidup umat. Sehingga bermuara dari sini diharapkan tumbuh pula semangat yang sama untuk membangun dan memberikan yang terbaik bagi perkembangan banua, hari ini, besok, lusa dan masa yang akan datang. Untuk itu kita juga salut dengan SKH Kalimantan Post yang tetap concern menerbitkan tulisan-tulisan berkenaan dengan khazanah intelektual lokal.

Pada tulisan terdahulu dijelaskan bahwa dalam catatan sejarah, Syekh Abdul Wahab bertemu dengan Syekh Muhammad Arsyad al-Banjari di Madinah, dalam majelis ilmu gurunya (yang kemudian juga menjadi guru Syekh Muhammad Arsyad), Syekhul Islam, Imamul Haramain Alimul Allamah Syekh Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi. Jika Syekh Muhammad Arsyad (dan Syekh Abdus Samad al-Palimbani) lebih banyak menggunakan waktu mereka untuk menuntut ilmu di kota Mekkah (selama 30 tahun) dan Madinah (selama 5 tahun), maka Abdul Wahab (bersama dengan Syekh Abdurrahman Misri) lebih banyak memanfaatkan waktu mereka untuk menuntut ilmu di Mesir.
 
Pigur Syekh Abdul Wahab Bugis
Berdasarkan pendapat dari Karel S. Steenbrink sebenarnya riwayat hidup seorang tokoh dapat

Keturunan Daeng Paroni (Daeng Perani) Gembira Dengan Pengesahan Kubur Pahlawan

SUNGAI PETANI, 24 Jun (Bernama) -- Keluarga keturunan pahlawan Bugis terkenal Daeng Paroni yang menetap di Kampung Ekor Lubuk, Sidam Kiri di sini gembira dengan pengesahan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Kedah mengiktiraf sebuah kubur lama di kampung Ekor Lubuk, sebagai makam pahlawan yang meninggal 282 tahun lepas.

Setiausaha Persatuan Warisan Keturunan Daeng Paroni, Roshazliza Abdul Razak berkata Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Kedah mengesahkan kubur lama di kampung Ekor Lubuk sebagai kubur Daeng Paroni pada Selasa lepas setelah keturunan pahlawan itu mengambil inisiatif mengesan kubur Daeng Paroni.

"Selepas warisnya berjaya mengesan perkuburan Daeng Paroni dan sekarang ia diiktiraf sebagai kubur beliau, kami sebagai keturunannya sangat gembira," katanya di sini hari ini.

Anggota keluarga keturunan pahlawan Bugis turut menetap di beberapa daerah lain di Kedah dan Perak.

Pahlawan Bugis Yg Mangkat Di Kedah (Bahagian II)

Daeng Perani Mangkat Di kedah

Dalam buku Tuhfat Al-Nafis, Salasilah Melayu & Bugis, dan Hikayat Siak dengan jelas menyatakan yang Opu Daeng Perani telah gugur di Kedah dalam pertempuran dengan Raja Kechil Siak. Dalam Tuhfat Al-Nafis mencatatkan:

Syahadan maka berapa antaranya maka kelengkapan Yang Dipertuan Muda [Opu Daeng Merewah] serta Opu-Opu itu mudik hendak melanggar Kubu Raja Kechil sebelah hulunya pada rumahnya dan apabila sampai ke kota hulu itu maka lalulah berperang yang sangat ramainya dengan gegak gempita berbedil-bedilan dengan meriam dan rentak serta tempik soraknya maka dengan takdir Allah Subhanahu Wa Taala sert adengan sudah sampai janjiNya maka Opu Daeng Perani pun kenalah pelurunya meriam tentang dadanya maka iapun mangkat di atas beranda hgurabnya dengan nama laki kerana waktu ia berperang besar itu bersiar-siar di atas beranda memerintahkan segala orang berperang itu .......

Seterusnya sumber ini mengatakan apabila Raja Kechil dikalahkan dan berundur ke Siak, “……Yang Dipertuan Muda serta Raja Tua, Daeng Menambun……dimakamkan mayat Opu Daeng Perani itu betapa adapt istiadat raja-raja mangkat……

Pahlawan Bugis Yg Mangkat Di Kedah (Bahagian I)

Asal usul Daeng Perani

Mengikut Catatan Raja Ali Haji dalam bukunya Salasilah Melayu dan Bugis serta Tuhfat Al-Nafis, Putera Bugis lima bersaudara ini adalah dari keturunan Opu Tendriburang Daeng Rilaga iaitu putera La Maddusalat, seorang Raja Bugis di negeri Luwuk. Opu Tendriburang Daeng Rilaga mempunyai lima orang anak iaitu Daeng Perani, Daeng Chelak, Daeng Marewah, Daeng Menambun & Daeng Kemasi.

Opu Daeng Rilaga bersama anak-anaknya keluar dari Luwuk setelah ayahandanya Opu La Maddusalat mangkat. Beliau memulakan perjalanan ke negeri To Pammana. Di sini beliau disambut meriah oleh pemerintah To Pammana. Beliau Kemudian ke Bone dan seterusnya ke Betawi bertemu dengan saudaranya Opu Daeng Biasa. Selepas pertemuan itu, beliau berangkat ke Siantan. Ketika di Siantan, Opu Daeng Perani telah berkahwin dengan anak Nakhoda Alang, keturunan Makasar. Dari Siantan Opu Daeng Rilaga bersama anak-anaknya mengambara ke Johor dan Melaka serta Kemboja. Setelah beberapa lama tinggal di Kemboja, Opu Daeng Rilaga dan anak-anaknya kembali ke Siantan. Apabila mereka sampai di Siantan, isteri Opu daeng Perani telah selamat melahirkan seorang anak lelaki yang diberi nama Daeng Kemboja sempena kepulangannya dari negeri kemboja.



Raja Ali Haji pujangga Melayu termasyhur

MENGENAI Raja Ali Haji sudah cukup banyak ditulis. Tulisan ulama ini yang dimuatkan dalam artikel ini merupakan petikan dan penambahan saja dari buku penulis yang berjudul Perkembangan Fiqh dan Tokoh-Tokohnya di Asia Tenggara, jilid 1. Penulis memulakan kisah ulama ini dengan kalimat berikut, “Ulama yang bermazhab Syafie (pengikut akidah Ahli Sunah wal Jamaah Imam Abul Hasan al-Asy’ari dan pengamal Tarekat Naqsyabandiyah dalam sufiah, yang berasal dari Riau ini) lain pula kepopularannya. 

“Beliau lebih banyak mengarang di bidang ilmiah-ilmiah lain dari pengetahuan fiqh dan hukum-hukum keislaman, sehingga namanya sangat terkenal dalam bidang bahasa dan kesusasteraan Indonesia dan Malaysia”. Karangan mengenai bahasa Melayu menyerlahkan namanya menjadi tersohor bagi dalam masyarakat Melayu sendiri mahu pun pengkaji-pengkaji bahasa dari kalangan kaum penjajah terutama sarjana yang berasal dari Belanda. 

Nama lengkap beliau ialah Tengku Haji Ali al-Haj bin Tengku Haji Ahmad bin Raja Haji Asy-Syahidu fi Sabillah bin Upu Daeng Celak, yang lebih masyhur dengan sebutan Raja Ali Haji saja.

Beliau dilahirkan di Pulau Penyengat Indera Sakti yang ketika itu menjadi pusat pemerintahan Riau-Lingga-Johor dan Pahang. Raja Ali Haji dilahirkan oleh ibunya, Hamidah binti Panglima Malik, Selangor, tahun lahirnya tercatat pada 1809. Raja Ali Haji mempunyai beberapa orang saudara, semuanya ada 16 orang. Mereka ialah: 

* Raja Abdul Majid * Raja Abdul Wadud
* Raja Haji Umar/Tengku Endut * Raja Haji Ali
* Raja Abdullah (Amir Karimun) * Raja Usman
* Raja Abdul Hamid * Raja Muhammad Sa’id
* Raja Kecik * Raja Shaliha
* Raja Fatimah * Raja Aisyah
* Raja Shafiyah * Raja Maimunah
* Raja Hawi * Raja Maryam

Beberapa orang adik-beradik Raja Ali Haji yang tersebut di atas, mahupun keturunan-keturunan mereka yang berperanan dalam masyarakat Melayu akan diceritakan lebih lanjut dalam siri-siri yang berikutnya.

Sambungan petikan daripada karangan penulis sendiri dalam buku, Perkembangan Fiqh dan Tokoh-Tokohnya di Asia Tenggara, jilid 1, “Kira-kira tahun 1822 sewaktu ia masih kecil, ia pernah dibawa oleh orang tuanya ke Betawi/Jakarta. Ketika itu orang tuanya, Raja Haji Ahmad, menjadi utusan Riau untuk menjumpai Gabenor Jeneral Baron van der Capellen. Berulang-ulang kali Raja Haji Ahmad menjadi utusan (kerajaan Riau) ke Jawa itu, waktu yang berguna itu telah dimanfaatkan oleh puteranya Raja Ali untuk menemui banyak ulama, untuk memperdalam pengetahuan Islamnya, terutama ilmu fiqh. (Di antara ulama Betawi yang sering dikunjunginya ialah Saiyid Abdur Rahman al-Mashri. Kepada ulama ini Raja Ali Haji sempat belajar Ilmu Falak)”. 

Selain dapat memperdalam ilmu keislaman, Raja Ali Haji juga banyak mendapat pengalaman dan pengetahuan hasil pergaulan dengan sarjana-sarjana kebudayaan Belanda seperti T. Roode dan Van Der Waal yang kemudian menjadi sahabatnya. Kira-kira tahun 1827/1243H Raja Ahmad pergi ke Mekah al-Musyarrafah, puteranya Raja Ali Haji ikut serta.

Raja Ahmad dan Raja Ali Hajilah di antara anak Raja Riau yang pertama menunaikan ibadah haji itu. Raja Ali Haji tinggal dan belajar di Mekah untuk suatu masa yang agak lama. Semasa di Mekah Raja Ali Haji sempat bergaul dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Dalam beberapa bidang keislaman dan ilmu bahasa Arab Raja Ali Haji sempat belajar dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang ketika itu adalah sebagai seorang besar (sebagai Ketua Syeikh Haji dan sangat berpengaruh) di kalangan masyarakat Melayu di Mekah. 

Ia bersahabat dengan salah seorang anak Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari iaitu Syeikh Syihabuddin bin Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Barangkali ketika itu pulalah Raja Ali Haji sempat mempelawa ulama yang berasal dari Banjar itu supaya bersedia pergi ke Riau, menurut rencananya jika mendapat persetujuan akan dijadikan Mufti di kerajaan Riau. Dalam perjalanannya ke Mekah itu, Raja Haji Ahmad dan puteranya Raja Ali Haji pula mengambil kesempatan berkunjung ke Kaherah (Mesir), setelah itu kembali ke negerinya Pulau Penyengat, Riau.

Di kerajaan Riau-Johor pada zaman dulu memang ramai ulama pendatang di antaranya Habib Syaikh keturuan as-Saqaf, Syeikh Ahmad Jabarti, Syeikh Ismail bin Abdullah al-Minkabawi, Syeikh Abdul Ghafur bin Abbas al-Manduri dan ramai lagi. Apatah lagi saudara sepupu Raja Ali Haji yang bernama Raja Ali bin Raja Ja’far menjadi Yamtuan Muda Kerajaan Riau VIII (tahun 1845-1857) menggantikan saudaranya Raja Abdur Rahman bin Raja Haji Yamtuan Muda Kerajaan Riau VII (taun 1833-1845). Apabila Raja Ali Haji pulang dari Mekah beliau disuruh oleh saudara sepupunya itu mengajar agama Islam, (Raja Ali bin Raja Ja’far juga ikut belajar kepada Raja Ali Haji).

Agak lama juga Raja Ali Haji terjun ke dunia pendidikan. Dikatakan bahawa beliau telah mengajar Ilmu Nahu, Ilmu Sharaf, Ilmu Usuluddin, Ilmu Fiqh, Ilmu Tasauf dan lain-lain. Raja Ali Haji memang berkemampuan tentang berbagai-bagai ilmu pengetahuan Islam, bahkan beliau memang seorang ulama besar pada zamannya. 

Ramai murid Raja Ali Haji yang menjadi tokoh terkemuka sesudahnya, di antaranya Raja Haji Abdullah yang kemudian menjadi Yamtuan Muda Riau IX, tahun 1857-1858, Saiyid Syaikh bin Ahmad al-Hadi. 

Dalam ilmu syariat, Raja Ali Haji berpegang teguh dengan Mazhab Syafie, dalam iktikad berpegang akan faham Syeikh Abul Hasan al-Asy’ari dan Abu Manshur al-Maturidi, sedang dalam amalan tasauf beliau adalah seorang penganut Tarekat Naqsyabandiyah dan mengamalkan Selawat Dalail al-Khairat yang dibangsakan kepada Saiyid Sulaiman al-Jazuli, yang diamalkan secara beruntun sejak datuk-datuknya terutama Raja Haji as-Syahidu fi Sabilillah yang ketika akan meninggalnya masih tetap memegang kitab selawat tersebut di tangannya, sementara pedang terhunus di tangannya yang satu lagi.

Sambungan petikan Perkembangan Fiqh dan Tokoh-Tokohnya di Asia Tenggara, jilid 1, “Nama kerajaan Riau-Lingga-Johor dan Pahang bertambah masyhur dengan kemunculan Raja Ali Haji dengan pelbagai karangannya yang bercorak sejarah yang banyak dibicarakan oleh ahli bahasa dan sastera di Nusantara (Indonesia dan Malaysia), bahkan menjadi perhatian yang serius oleh orientalis Barat”. 

Riau dikatakan sebagai pusat kebudayaan Melayu dan pusat perkembangan ilmu pengetahuan keislaman yang tiada tolok bandingnya di kala itu. Raja Ali Haji sebagai tokoh sejarah, ahli bahasa/sastera Melayu dan yang terkenal dengan “Gurindam Dua Belasnya” banyak dibicarakan orang. Akan tetapi belum begitu popular bahawa beliau adalah seorang ulama besar Islam (dunia Melayu). Tentang penulisan Ilmu Fiqh, Tauhid dan Tasauf Raja Ali Haji bukanlah seorang penulis yang produktif seperti gurunya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Walau bagaimanapun diakui ada karya Raja Ali Haji ke arah itu di antaranya Jauharatul Maknunah. 

Syair Sultan Abdul Muluk pernah diterbitkan oleh Roorda van Eysinga dalam Tijdshrift voor Nederlandsch-India, IX, 4, 1847M, dan diterbitkan di Batavia 1958 M.

Sambungan petikan Perkembangan Fiqh dan Tokoh-Tokohnya di Asia Tenggara, jilid 1, “Tentang karya-karya Raja Ali Haji yang tersebut di atas, penjelasan satu persatu adalah sebagai yang berikut, Gurindam Dua Belas banyak dibicarakan dalam pelajaran sastera. Drs. Zuber Usman dalam bukunya, Kesusasteraan Lama Indonesia, beliau menyalin beberapa untaian gurindam itu. Di antara gurindam fasal kesebelasnya. 

Dinamakan Gurindam Dua Belas ialah kerana terdiri dari dua belas fasal. Yang terkandung dalam Gurindam Dua Belas ialah perkara yang menyangkut ibadat individu, kewajipan-kewajipan para raja dan sifat-sifat masyarakat, kewajipan orang tua kepada anak dan sebaliknya kewajipan anak kepada orang tua, dan lain-lain.

Sutan Takdir Ali Syahbana memuat Gurindam Dua Belas dalam bukunya Puisi Lama, tahun 1969 diterbitkan lagi dengan suatu pembicaraan Drs.Shaleh Saidi tentang gurindam itu. Penerbitannya diusahakan oleh Direktorat Bahasa dan Kesusasteraan, Singaraja. Gurindam Dua Belas pernah dikumpulkan oleh Elisa Netscher dan diajarkan dalam Tijdshrift voor Indische Taal, Land en Volkenkunde No. 2, tahun 1853 dengan judul De Twaalf Spreukgedichten.

Bustanul Katibin, ditulis tahun 1267H/1850M, diterbitkan dengan huruf batu (litografi) di Pulau Penyengat Riau. Kandungannya membicarakan penulisan bahasa Melayu, tatabahasa Melayu yang disesuaikan dengan tatabahasa (nahu dan sharaf) dalam bahasa Arab. Bustanul Katibin terdiri dari 31 pasal, tebalnya hanya 70 halaman.

Kitab Pengetahuan Bahasa, ditulis tahun 1275 H/1858M, menggunakan nama pengarang pada halaman depan cetakan Al-‘Alim Al-Fadhil Al-Marhum Raja Ali Haji ibni Al-Marhum Raja Haji Ahmad ibni Al-Marhum Yang Di Pertuan Muda Raja Haji Asy-Syahid fi Sabilillah Ta’ala ... , terbitan pertama, penggal yang pertama Matba’ah Al-Ahmadiah, 82, Jalan Sultan, Singapura, 10 Rejab 1348 H/11 Disember 1929. 

Terbitan kedua telah penulis atau Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, usahakan tahun 1417 H/1996 dengan lampiran Sejarah Ringkas Matba’ah Al-Ahmadiah Singapura dan Raja Haji Umar bin Raja Hasan (Cucu Raja Ali Haji)]. Kitab tersebut adalah kamus bahasa Melayu yang lebih menekankan loghat Melayu Johor, Pahang dan Riau-Lingga. Cetakan pertama setebal 466 halaman, cetakan kedua 483 halaman dengan pendahuluan setebal 32 halaman.

Kitab ini tidak sempat selesai, hanya sampai pada huruf (Ca) saja. 

Tsamratul Muhimmah, judul lengkap Tsamratul Muhimmah Dhiyafatu lil Umara’ wal Kubara’ li Ahlil Mahkamah. Diselesaikan pada hari Selasa, pukul 2, pada 10 Syaaban 1275H/1858M. Tempat diterbitkan ada dinyatakan pada halaman depan Office Cap Gubernement Lingga, 1304 H. Di halaman belakang dinyatakan ‘Tercap di Lingga An Street Printing Office, Muharam 1304H/1886M. Diterbitkan lagi oleh Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, 1420H/1999M (cetakan yang kedua), nombor siri 28 dengan ukuran 20.4 x 13.5 cm, setebal 79 halaman. Kitab tersebut adalah pedoman untuk raja-raja, hakim, menteri serta pembesar-pembesar lain dalam sesuatu kerajaan atau pemerintahan.

Salasilah Melayu dan Bugis (No. 6), ditulis pada 15 Rabiulakhir 1282H/1865M. Naskhah asalnya adalah dari Saiyid Syarif Abdur Rahman bin Saiyid Qasim, Sultan Pontianak, bin Syarif Abdur Rahman al-Qadri, bahawa naskhah itu telah ditulis oleh Haji Abdullah anak Khairuddin peranakan Juanah pada tahun 1282H atau 1865M. 

Diterbitkan buat pertama kalinya (Matba’ah Al-Imam), Singapura, tahun 1329H/1911 M, kemudian diterjemahkan ke bahasa Inggeris tahun 1926 dan dimuat dalam JMBRAS. Pada 1956 diterbitkan di Johor atas perintah Mayor Jenderal Sir Sultan Ibrahim, Sultan Johor ketika itu, dicetak di Pejabat Cetak Kerajaan Johor oleh Markum bin Haji Muhammad Said.

Kitab Salasilah Melayu dan Bugis yang ditulis dengan huruf Melayu/Jawi atau huruf Arab dalam bahasa Melayu/Indonesia itu pernah dirumi/latinkan oleh Sasterawan Negara, Arena Wati tahun 1972, diterbitkan oleh Pustaka Antara, Kuala Lumpur (Malaysia) dalam tahun 1973. 

Kandungan Salasilah Melayu dan Bugis ialah menceritakan asal usul keturunan Bugis di Luwu’ Sulawesi, kemudian kejayaan di dalam pengembaraannya di bahagian Barat Nusantara setelah menghadapi pelbagai tentangan dan peperangan yang sangat hebat dan secara berentetan. Mereka dapat berkuasa di Riau, Selangor, Mempawah, dan tempat-tempat lainnya. Salasilah Melayu dan Bugis adalah sangat penting untuk menyusun sejarah Riau, Kalimantan Barat, Sulawesi Selatan dan Malaysia.

Menyusul kitab Tuhfatun Nafis ditulis pada 3 Syaaban 1282H/1865M. Kitab Tuhfatun Nafis dapat dikatakan sebagai kelanjutan dari Salasilah Melayu dan Bugis. Kitab Tuhfatun Nafis adalah yang paling terkenal daripada semua karangan Raja Ali Haji. Kandungannya dimulakan dengan menjelaskan sejarah Singapura, Melaka dan Johor yang kemudian dilanjutkan tentang Riau dikalahkan oleh Belanda. Secara terperinci menguraikan kejadian-kejadian bersejarah mulai tahun 1677M hingga ke tahun disusunnya kitab itu (1282H/1865M). 

Dipaparkan dengan hebat kisah datuknya Raja Haji putera Upu Daeng Celak sehingga beliau mangkat menemui syahidnya di Teluk Ketapan, Melaka. Kitab Tuhfatun Nafis pernah diterbitkan oleh R. O. Winstedt dalam tahun 1932, dimuat dalam JMBRAS, dalam tahun 1965 oleh Malaysia Publication di Singapura dengan edisi tulisan Rumi/Latin, dan Tuhfat Al-Nafis Sejarah Melayu-Islam merupakan transliterasi oleh Virginia Matheson Hooker diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 1991. 

Bagaimanapun, ada sarjana yang berpendapat kitab Tuhfatun Nafis bukan karangan Raja Ali Haji tetapi karangan ayahnya Raja Haji Ahmad yang terkenal itu.

Muqaddimah fi Intizham, judul lengkapnya ialah Muqaddimah fi Intizhamil Wazhaifil Muluki Khushusan ila Maulana wa Shahibina wa Akhina Yang Di Pertuan Muda Raja Ali al-Mudabbir lil Biladir Riyauwiyah wa Sairi Dairatihi, menurut Hasan Junus, ialah sebuah risalah tipis berisikan tiga buah wazifah untuk dijadikan pegangan oleh seorang pemegang kendali dan kemudi negeri ketika mengangkat rencana hukum sebelum menjatuhkan hukuman. 

Seterusnya Syair Hukum Nikah atau Syair Kitab an-Nikah atau Syair Suluh Pegawai. Mengenai judulnya, Abu Hassan Sham menyebut, “Nama syair ini tidak pernah tercatat sebelum ini, tetapi ini bukan bermakna syair ini tidak disedari oleh sarjana-sarjana Barat. Mereka mengetahui syair ini dengan nama yang lain iaitu Syair Hukum Nikah atau Syair Kitab an-Nikah”.

Syair Sinar Gemala Mustika Alam, syair ini pernah diterbitkan oleh Matba’ah ar-Riyauwiyah Pulau Penyengat, tahun 1311H/1893M].

Jauharatul Maknunah, dinamakan juga Siti Shiyanah Shahibul Futuwah wal Amanah ditulis dalam bentuk syair. Kandungannya mengenai pelajaran fiqh, atau pelajaran agama Islam, yang digubah dalam bentuk puisi. 

Jauharatul Maknunah diterbitkan oleh Matba’ah Al-Ahmadiah, 50 Minto Road, Singapura, pada 7 Muharam 1342H. Jauharatul Maknunah ditashih oleh Raja Haji Abdullah bin Raja Haji Hasan Riau, diterbitkan atas usaha Raja Haji Ali bin Raja Haji Muhammad Riau, Mudir Matba’ah Al-Ahmadiah yang ada hubungan keturunan kekeluargaan dekat dengan pengarangnya, Raja Ali Haji. 

KETURUNAN

Putera/puteri Raja Ali Haji ada 17 orang iaitu:

1. Raja Haji Hasan, 2. Raja Mala’, 3. Raja Abdur Rahman, 4. Raja Abdul Majid, 5. Raja Salamah, 6. Raja Kaltsum, 7. Raja Ibrahim Kerumung, 8. Raja Hamidah, 9. Raja Engku Awan ibu Raja Kaluk, 10. Raja Khadijah, 11. Raja Mai, 12. Raja Cik, 13. Raja Muhammad Daeng Menambon, 14. Raja Aminah, 15. Raja Haji Salman Engku Bih, 16. Raja Siah dan 17. Raja Engku Amdah.

Raja Haji Hasan (No. 1) memperoleh 12 orang anak yang terkenal sebagai ulama dan tokoh ialah; 1. Raja Haji Abdullah Hakim, 2. Raja Khalid Hitam, meninggal dunia di Jepun, 3. Raja Haji Abdul Muthallib, 4. Raja Mariyah, 5. Raja Manshur, 6. Raja Qamariyah, 7. Raja Haji Umar, 8. Raja Haji Andi, 9. Raja Abdur Rasyid, 10. Raja Kaltsum, 11. Raja Rahah dan 12. Raja Amimah.
Senarai karangan Raja Ali Haji yang telah diketahui adalah seperti yang berikut

* Syair Sultan ‘Abdul Muluk, hari Rabu, 8 Rejab 1262H/1846M
* Gurindam Dua Belas, tahun 1846M
* (Bustanul Katibin lis Shibyanil Muta'allim), tahun 1267 H/1850M
* Kitab Pengetahuan Bahasa, tahun 1275 H/1858M
* (Tsamaratul Muhimmah), diselesaikan hari Selasa, pukul 2, pada 10 Syaaban 1275H/1858M
* Salasilah Melayu dan Bugis, 15 Rabiulakhir 1282H/1865M
* (Tuhfatun Nafis), 3 Syaaban 1282 H/1865M
* (Muqaddimah fi Intizham)
* Syair Hukum Nikah atau Syair Kitab an-Nikah atau Syair Suluh Pegawai
* Syair Sinar Gemala Mustika Alam
* (Jauharatul Maknunah), dinamakan juga Siti Shiyanah Shahibul Futuwah wal Amanah

- Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah

Haji Ismail Mundu Mufti Kerajaan Kubu


SEBUAH salasilah yang saya peroleh di Pontianak, Kalimantan Barat ada menyatakan bahawa Haji Utsman (Daeng Pagalak) datang ke Pontianak bersama seorang anaknya, Nakhoda Tuzu, dari negeri Bugis. Anak Haji Utsman (Daeng Pagalak) ada enam orang. Anak yang ketiga bernama Haji Abdul Karim. Haji Abdul Karim memperoleh anak laki-laki empat orang. Anaknya yang sulung bernama Haji Ismail iaitu ulama yang diriwayatkan dalam artikel ini. 

Gelaran beliau yang selalu disebut-sebut oleh masyarakat ialah Mufti Haji Ismail Mundu atau Mufti Kubu. Anak Haji Abdul Karim bin Haji Utsman yang kedua bernama Haji Umar. Anak Haji Umar bernama Haji Abdul Hamid. Anak Haji Abdul Hamid ialah Ambok Pasir. Keturunan ini pada satu ketika dulu sangat terkenal di Singapura kerana sering menghadapi pergaduhan dengan golongan samseng Cina di Singapura. 

Haji Umar berkahwin sebanyak 12 kali. Daripada perkahwinannya dengan Halimah Ragiak, beliau memperoleh dua orang anak. Anaknya yang bernama Hajah Hafshah dikahwinkan dengan Saiyid Ali bin Saiyid Abdullah az-Zawawi. Anak Saiyid Ali bin Saiyid Abdullah az-Zawawi ialah Saiyid Yusuf az-Zawawi yang pernah menjadi Mufti Kerajaan Terengganu. 

Haji Ismail bin Haji Abdul Karim mendapat pendidikan awal daripada golongan ulama Bugis yang ramai tinggal di Kalimantan Barat. Kitab yang dipelajari adalah dalam bahasa Arab dan kitab tulisan Bugis dalam bahasa Bugis. Beliau juga belajar dengan ulama bangsa Melayu yang menggunakan kata pengantar dalam bahasa Melayu. Pendidikannya yang terakhir di Mekah. Antara sahabatnya ketika belajar di Mekah termasuklah Tok Kenali. 

Baik sewaktu tinggal di Mekah mahupun setelah pulang ke dunia Melayu, Haji Ismail bin Haji Abdul Karim selalu mendekati para ulama. Apabila berdampingan dengan ulama-ulama yang setaraf dengannya, bahkan yang kurang ilmu daripadanya, beliau lebih suka mendengar apa yang dibicarakan orang. Beliau selalu mengelak daripada menonjolkan diri. Prinsipnya lebih baik diam daripada banyak bercakap menyalahkan orang. Lebih baik berzikir secara dawam (berkekalan) daripada bercakap sesuatu yang tiada bermanfaat. 

Ilmu adalah nur (cahaya) kepada Haji Ismail. Ilmu adalah suatu yang semerbak mewangi. Cahaya dan wangian pasti akan lahir jua, kedua-duanya tiada kekal dalam pertapaannya. Oleh itu Haji Ismail Mundu walaupun beliau tidak suka menonjolkan diri namun ia akan tertonjol, terangkat tinggi dengan sendirinya. Setelah beliau pulang dari Mekah, beliau dilantik menjadi Mufti di Kerajaan Kubu, iaitu sebuah kerajaan kecil dalam takluk kerajaan Pontianak, Kalimantan Barat. 

Kemasyhuran

Pada masa yang sama di Pontianak ada tiga ulama besar yang bernama Ismail. Dua orang lagi ialah Haji Ismail bin Abdul Lathif (lebih dikenali dengan sebut Haji Ismail Jabal) yang pangkatnya adalah Penasihat Agama Kerajaan Pontianak dan yang seorang lagi ialah Haji Ismail bin Abdul Majid yang berasal dari Kelantan. Haji Ismail bin Abdul Majid Kelantan kemudian dilantik sebagai Mufti Kerajaan Pontianak. Haji Ismail Kelantan adalah ulama yang termuda antara mereka. 

Selain tiga orang ulama yang tersebut, pada zaman yang sama, berdasarkan surat tarikh Pontianak, hari Khamis, 13 Februari 1936 H bersamaan 20 Zulhijjah 1354 M, tokoh-tokoh tertinggi yang menangani urusan Islam dalam kerajaan Pontianak dan kerajaan-kerajaan kecil di bawah takluknya ada yang dinamakan Seri Paduka Hakim iaitu Seri Paduka Yang Maha Mulia Duli Tuanku Sultan Saiyid asy-Syarif Muhammad al-Qadri. Di bawahnya ada Sekretaris Luar Biasa yang disandang oleh Paduka Pangeran Adi Pati Anom Seri Maharaja Syarif Utsman al-Qadri. 

Selain itu ada yang dinamakan Naibul Hakim yang disandang oleh Syarif Abdullah bin Ahmad Saqaf. Di bawahnya ada jawatan yang dinamakan Lid Tiga Orang. Ia disandang oleh Syarif Abdullah bin Ahmad Saqaf, Syarif Utsman bin Pangeran Aria dan Syeikh Muhammad bin Abdullah Habsyi. 

Terakhir sekali dinamakan Adviseur Penasihat. Yang menyandang kedudukan ini ada dua orang iaitu Saiyid Muhammad bin Shalih bin Syihab dan Haji Ismail bin Haji Abdul Lathif. Memperhatikan susunan kedudukan ini Haji Ismail bin Haji Abdul Lathif ialah sahabat terdekat Haji Ismail bin Abdul Karim, Mufti Kubu, yang bukan daripada golongan bangsa ‘Saiyid’. 

Haji Ismail bin Abdul Karim meninggal dunia pada hari Khamis, 15 Jamadilakhir 1376 H/16 Januari 1957 M. Sungguhpun beliau telah meninggal dunia pada tahun itu namun hingga tahun 1980-an nama Haji Ismail Mundu masih sering disebut-sebut oleh masyarakat Pontianak terutama orang Melayu yang bercampur darah dengan Bugis. 

Sewaktu saya merantau di Pontianak selama bertahun-tahun saya sempat bergaul dengan dua orang murid yang rapat dengannya, yang mempusakai ilmu daripada ulama besar keturunan Bugis itu. Muridnya yang pertama ialah Haji Ibrahim Bugis yang setiap hari, siang ataupun malam, didatangi oleh masyarakat termasuk pemimpin tertinggi di Pontianak pada ketika itu. Yang seorang lagi ialah seorang korporat, namanya dipopularkan dengan sebutan Haji Ahmad Tata Pantas. 

Saya cuba mengorek keunggulan dan kewibawaan peribadi ulama ini, apakah yang menyebabkan beliau menjadi ulama yang paling banyak disebut namanya, sedangkan ulama Pontianak lain setelah meninggal dunia namanya kurang dipercakapkan. Rahsia kepopularan itu sangat panjang untuk diceritakan, tiada cukup ruangan yang disediakan keperluan artikel ini. Walau bagaimanapun saya simpulkan saja bahawa Mufti Haji Ismail Mundu adalah seorang ulama yang kuat mengerjakan amalan-amalan bercorak sembahyang sunat, zikir, selawat dan pelbagai wirid. 

Golongan peringkat mana pun yang memerlukan beliau untuk menyelesaikan sesuatu masalah peribadi atau untuk kepentingan umum semuanya dilayani dengan penuh ikhlas tanpa mengharapkan sesuatu. Tiada masalah yang tiada dapat diatasi, walau sebesar gunung, walau seberat apa timbangan sekalipun. Haji Ismail Mundu mengutamakan resipi unggul dan ampuh, iaitu menganjurkan seseorang yang bermasalah terlebih dulu mengucap istighfar (minta pengampunan kepada Allah) sebanyak yang mungkin atau dalam jumlah yang tertentu. 

Sesudah itu beliau menyuruh mereka beramal sendiri dengan amalan-amalan wirid yang pernah dikerjakan oleh Nabi Muhammad s.a.w., para sahabat, para Wali Allah dan amalan para ulama. Apabila cukup syarat mengerjakan amal dan ikhlas hati, insya-Allah doa selalu dikabulkan oleh Allah dan semua masalah yang sedang dihadapi dapat diatasi. 

Antara karya Haji Ismail bin Haji Abdul Karim yang dihasilkannya adalah:

1. Kumpulan Wirid, diselesaikan pada 1 Muharam 1349 H. Kandungannya membicarakan wirid untuk keselamatan dunia dan akhirat. Wirid keselamatan yang dibangsakan kepada duniawi adalah untuk penjagaan diri daripada pelbagai bentuk dan corak permusuhan sesama makhluk Allah. Selain itu ia juga membantu kelancaran rezeki dalam urusan penghidupan. Walau bagaimana buruk kemelesetan ekonomi, seseorang yang dibekalkan dengan wirid-wirid tertentu tiada akan berasa takut untuk berhadapan dengannya.

Naskhah

Dalam naskhah tersebut dinyatakan apabila hendak beramal terlebih dulu perlu dibaca al-Fatihah yang dihadiahkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.. Selanjutnya dibaca al-Fatihah kepada zuriat Nabi Muhammad s.a.w.. Yang disebut ialah Habib Ahmad bin Isa al-Muhajir, dan Habib Muhammad bin Ali Ba Alawi. Naskhah yang ada pada saya tidak terdapat nama percetakan, tetapi pada halaman terakhir terdapat cop mohor beliau. Sehubungan dengan risalah ini ada lagi yang dinamakan Risalah Amalan. Risalah ini masih merupakan manuskrip. Manuskrip yang asli ada dalam simpanan saya yang saya peroleh daripada murid beliau, Haji Ahmad Tata Pantas, Pontianak. 

2. Kitab Mukhtashar ‘Aqaid, diselesaikan di Teluk Pak Kedai, hari Jumaat, pukul 5 petang, 18 Rejab 1351 H. Kandungannya merupakan pelajaran ilmu akidah untuk hafalan kanak-kanak. Dicetak oleh Annashar & Co, Pontianak. 

3. Jadwal Hukmin Nikah atau Jadwal Nikah Soal-Jawab, diselesaikan hari Selasa, 15 Muharam 1355 H. Ini keterangan yang dicetak oleh Kantor Tulis dan Toko Kitab as-Saiyid Ali Al-‘Aidrus, Kramat No. 38 Batavia Centrum. Tetapi pada mukadimah cetakan Mathba’ah al-Islamiyah, Victoria Street, Singapura, Mufti Haji Ismail Mundu menulis, “Maka tatkala adalah tahun seribu tiga ratus lima puluh tujuh daripada hijrah Nabi... (1357 H/1938 M, pen:) bergeraklah hati saya dan cenderunglah fikiran saya bahawa hendak memungut akan beberapa masalah soal jawab pada bicara hukum nikah....” 

Risalah ini diberi kata pendahuluan oleh Muhammad Ahmad az-Zawawi, kata akuan oleh Mufti Kerajaan Johor ‘Alwi bin Thahir bin ‘Abdullah al-Haddad al-‘Alawi dan kata pujian oleh Ketua Kadi-Kadi Singapura, ‘Abbas bin Muhammad Thaha, Pejabat Qadhil Qudhah, Singapura, 7 Rabi’uts Tsani 1358 H. Kandungannya disebut oleh Muhammad Ahmad az-Zawawi pada kata pendahuluannya yang bertindak bagi kewarisan Mufti Haji Ismail Mundu, bahawa “diterbitkan kitab ini supaya menjadi pedoman bagi sesiapa yang hendak mengetahui hukum-hukum agama dalam perkara nikah, talak, rujuk, fasakh, edah, dan lain-lain. Sekira-kira memberi faham dan faedah soal jawab dan jadual yang tersusun dengan peraturan yang mudah dengan tuturan bahasa Melayu, supaya diketahui dengan tiada guru buat dibaca oleh penuntut penuntut ilmu dan yang sudah kahwin. Dan juga bagi mereka yang akan kahwin laki-laki dan perempuan. Dan kitab ini telah ditashhihkan dan diakui oleh Tuan Mufti Kerajaan Johor dan pujian oleh Ketua Kadi-Kadi Singapura.”

Sungguhpun Risalah Jadwal Nikah Soal-Jawab merupakan risalah yang nipis, namun terdapat juga pemikiran beliau tentang isu semasa berhubung kedudukan sosial masyarakat tentang hukum kufu. Pada zaman yang bercorak kebendaan seperti sekarang ini ramai orang membicarakan bahawa orang kaya adalah tidak kufu kahwin dengan orang miskin. 

Haji Ismail Mundu menyatakan hujah sebaliknya. Tulis beliau, “Maka nyatalah daripadanya bahawasa kaya itu tiada ia dibilangkan daripada segala perkara kufu. Oleh kerana harta itu pergi datang, tiada mengambil kemegahan dengan dia segala mereka yang mempunyai perangai dan mempunyai mata hati. Maka oleh kerana inilah sekufu laki-laki yang papa dengan perempuan yang kaya.” 

Masyarakat yang umum kebanyakannya hanya mengetahui dua jenis wali nikah, iaitu wali aqrab dan wali hakim, namun dalam risalah ini juga dibicarakan ‘wali tahkim’. Wali tahkim adalah tidak sama dengan wali hakim. Mufti Haji Ismail Mundu menyebut bahawa syarat harus bertahkim ada tiga perkara iaitu pertama, ketiadaan wali; kedua, ketiadaan hakim (maksudnya wali hakim) di negeri itu; dan ketiga, laki-laki yang dijadikan wali tahkim itu adil. 

Selanjutnya Mufti Haji Ismail Mundu menambah keterangannya bahawa “tiada wajib perempuan dan laki-laki yang berkehendak nikah itu hadir kedua-duanya di hadapan orang yang adil itu. Ini atas qaul Ibnu Hajar dalam Tuhfah....”


Mahaguru Silat Seni Gayong Malaysia - Dato' Paduka Meor Abdul Rahman bin Daeng Uda Mohd Hashim

Mahaguru Silat Seni Gayong ialah allahyarham Dato' Paduka Meor Abdul Rahman bin Daeng Uda Mohd Hashim. Beliau ialah seorang berketurunan Raja Bugis dan Arab daripada susur galur Al-Attas.
 
Moyang beliau yang terkenal berhijrah ke Tanah Melayu ialah Tengku Daeng Kuning. Daeng Kuning merupakan seorang pahlawan terkenal yang digelar sebagai Panglima Hitam. Daeng Kuning dikatakan mewarisi ilmu kependekaran daripada nenek moyangnya seorang pendekar yang dikenali sebagai Pahlawan Gayong.

Pahlawan Gayong ialah seorang pendekar terbilang yang menguasai ilmu persilatan secara zahir dan kebatinan. Beliau amat tersohor di kepulauan Melayu dan digeruni oleh lawannya. Ada sumber yang mengatakan bahawa Dato' Laksamana Hang Tuah adalah pewaris amanah ilmu Pahlawan Gayong. Seterusnya imu tersebut diturunkan kepada Dato' Meor Abdul Rahman sebagai waris zuriat Pahlawan Gayong.

Daeng Kuning berhijrah dari Sulawesi ke Tanah Melayu selepas tahun 1800 Masehi. Penghijrahan tersebut ditemani oleh saudara mara beliau yang terdiri daripada Daeng Merewah, Daeng Celak, Daeng Parani, Daeng Pelangi, Daeng Mempawah dan Daeng Jalak. Mereka tujuh bersaudara belayar ke Tanah Melayu untuk membina penghidupan baru dan menyatupadukan pahlawan-pahlawan Melayu.

Penghijrahan bangsa Bugis ke Tanah Melayu dipercayai bermula dari tahun 1667 Masehi apabila Makasar, Sulawesi jatuh ke tangan Belanda. Pahlawan Bugis yang terkenal di gugusan Melayu pada ketika itu ialah Daeng Rilaka dan lima orang putera beliau bernama Daeng Parani, Daeng Merewah, Daeng Menambun, Daeng Celak dan Daeng Kemasi.

Penghijrahan Daeng Kuning tujuh bersaudara ini berkemungkinan besar susulan daripada dasar campurtangan Kerajaan Belanda yang semakin berleluasa di Kepulauan Sulawesi. Ada sumber yang mengatakan bahawa Daeng Kuning adalah zuriat keturunan Daeng Merewah bin Daeng Rilaka. Dua buah rombongan ini sudah pasti terdiri daripada orang yang berlainan walaupun ada persamaan pada sesetengah nama. Ini berdasarkan perbezaan masa yang agak ketara. Walau bagaimanapun, kaitan kekeluargaan antara satu sama lain tidak dinafikan.

Penghijrahan tujuh bersaudara tadi bukanlah bermaksud lari daripada medan peperangan , ia sebenarnya satu cara untuk menyusun strategi balas. Matlamat mereka ialah untuk mengumpulkan para pahlawan Melayu bagi menentang kuasa-kuasa asing yang menjajah negeri-negeri di Nusantara.

Daeng Kuning dan saudaranya telah mempelopori gerakan gerila untuk melumpuhkan pentadbiran penjajah di negeri-negeri Melayu. Walaupun ramai pahlawan Bugis terlibat secara langsung dengan kancah politik negeri-negeri Melayu seperti di Sumatera, Jawa, Semenanjung Tanah Melayu, Temasik dan Kepulauan Riau, namun mereka tidak bersatu-padu. Malahan, ada di antara mereka yang menjadi askar upahan kuasa-kuasa asing dan berperang sesama sendiri.

Oleh sebab itulah, ketika belayar di tengah lautan, Daeng Kuning telah mengingatkan kembali matlamat penghijrahan mereka. Pesanan tersebut disampaikan melalui bentuk pantun kepada saudara-mara beliau yang berbunyi;

Pecah Gayong Di Dalam Dulang,
Dulang Hanyut Di Lautan Tujuh;
Perpecahan Gayong Perpecahan Sayang,
Suatu Masa Dan Ketika Kembali Berteguh (berpadu)

Dalam tahun 1813 Masehi, Daeng Kuning tujuh bersaudara telah mendarat di Kuala Larut, Perak sebelum pemerintahan Sultan Abdullah. Buat sementara waktu mereka bermastautin di suatu tempat yang mereka namakan sebagai Pengkalan Alur atau Relur Tujuh. Kini tempat tersebut dipanggil Kampung Ayer Kuning, terletak di Taiping, Perak.

Hanya Daeng Kuning menetap di Pengkalan Alur dan bertapa buat beberapa ketika di dalam sebuah gua di Bukit Larut. Manakala saudara Daeng Kuning yang lain bergerak menuju ke Pahang, Terengganu, Johor, Selangor, Melaka dan Kedah. Ada yang terus menetap di negeri singgahan mereka dan ada antaranya yang meneruskan perjalanan berikutnya ke Kepulauan Melayu lain.

Daeng Kuning telah mendirikan rumahtangga dengan seorang puteri raja Patani. Perkahwinan tersebut menghasilkan seorang cahaya mata lelaki yang dinamakan Che Ngah Tambah.

Daeng Kuning digelar oleh penduduk tempatan sebagai Tok Hitam Dam. Gelaran tersebut cukup terkenal hinggakan sebatang jalan di Kampung Pokok Assam dinamakan Jalan Tok Hitam Dam. Daeng Kuning mangkat di Taiping, Perak dalam tahun 1875 Masehi. Makam beliau terletak di Kampung Tupai, berdekatan Jalan Pokok Assam di Taiping. Ia telah diwartakan sebagai bahan sejarah dan kini terletak di bawah jagaan Muzium Negara menurut Akta Bendapurba, 1976.

Anak tunggal Daeng Kuning, Che Ngah Tambah juga memiliki ilmu yang tinggi dan sifat kepemimpinan yang unggul. Beliau merupakan tokoh yang membuka Daerah Larut-Matang dan dilantik menjadi seorang Penghulu Besar bagi daerah tersebut.

Atas kewibawaan beliau, Che Ngah Tambah dilantik oleh Sultan Perak sebagai salah seorang daripada Orang Besar Enam Belas Negeri. Che Ngah Tambah menetap di kampung Ayer Kuning dan mempunyai empat orang isteri.

Che Ngah Tambah merupakan seorang pembesar yang pemurah dan amat disegani. Tanah-tanah dalam bidangkuasanya diagih-agihkan kepada penduduk tempatan atau sesiapa sahaja yang layak untuk diusahakan atau dibuat penempatan.

Pemimpin-pemimpin Cina yang menjalankan aktiviti perlombongan di dalam daerahnya juga amat menghormati beliau. Anak Che Ngah Tambah yang bernama Alang Abdul Rahman telah dikahwinkan dengan salah seorang anak pemimpin Cina. Pemimpin Cina berkenaan menawarkan anak beliau sebagai tanda persahabatan dan hormat atas kepimpinan Che Ngah Tambah.

Hasil perkongsian hidup Che Ngah Tambah dengan salah seorang isteri beliau, Allah SWT telah mengurniakan lima orang cahayamata. Anak-anak mereka terdiri daripada Long Khadijah, Mariah, Uda Mohd Hashim, Aminah dan Mariam. Anak-anak Che Ngah Tambah dengan isteri-isteri yang lain setakat yang diketahui ialah Alang Abdul Rahman, Putih Mohd Salleh dan Sareah. Che Ngah Tambah telah dimakamkan di perkarangan Masjid Taiping (lama) dan nama beliau juga diabadikan pada sebatang jalan di Pokok Assam, Taiping.

Uda Mohd Hashim merupakan ayahanda kepada Dato' Meor Abdul Rahman. Uda Mohd Hashim ialah seorang arkitek yang terkenal di Taiping. Beliau telah berkahwin dengan seorang janda cantik berketurunan Arab bernama Syarifah Aluyah binti Syed Zainal al-Attas. Syarifah Aluyah sebelum berkahwin dengan Uda Mohd Hashim telah mempunyai tiga orang anak bernama Alin, Puteh dan Hendun.

Syed Zainal bin Syed Idris al-Attas berasal dari Pahang manakala isterinya ialah orang tempatan Parit, Perak. Syed Zainal pernah dilantik sebagai seorang penghulu di Pekan, Pahang. Beliau juga dikenali sebaga Dato' Jenal. Beliau ialah salah seorang pembesar Pahang yang menentang penjajahan British bersama-sama dengan Dato' Mat Kilau dan Dato' Bahaman.

Sebaik sahaja Uda Mohd Hashim berkahwin dengan Syarifah Aluyah, mereka telah berpindah ke Lake Garden (Taman Tasek), Taiping. Uda Mohd Hashim dan Syarifah Aluyah telah dikurniakan tiga orang cahayamata iaitu Meor Abdul, Aziz, Meor Abdul Rahman dan Siti Sa'diah.

Selain menjalankan tugas seharian sebagai seorang arkitek, Uda Mohd Hashim juga adalah salah seorang Ahli Majlis Daerah Taiping. Kebanyakan rekabentuk rumah dan bangunan terutamanya di Kampung Pokok Assam dan bandar Taiping adalah hasil kreativiti beliau. Sebagai ahli Majlis Daerah, beliau berperanan merancang dan memajukan Daerah Taiping. Ini membuatkan beliau dikenali ramai dan dihormati.

Latarbelakang keluarga yang begitu kuat dan berpengaruh sedikit sebanyak telah membentuk peribadi Meor Abdul Rahman sebagai seorang pahlawan dan pemimpin unggul seni silat abad ke-20.

Meor Abdul Rahman bin Daeng Uda Mohd Hashim dilahirkan pada 17 haribulan Ogos 1918 di Kampung Lake Garden, Taiping, Perak. Ketika lahir beliau dinamakan Meor Abdul Hamid. 

Sebelum dilahirkan, bonda beliau bermimpi didatangi satu lembaga yang mengkhabarkan anak dalam kandungannya akan menjadi seorang pahlawan yang gagah berani. Meor Abdul Rahman dilahir berkembarkan seekor cacing. Kembar beliau itu setelah dibersihkan disimpan di dalam sebuah tempurung kelapa jantan, kemudiannya dihanyut ke laut melalui Teluk Kertang, Matang, Perak. Menurut kata bondanya, kelahiran sedemikian adalah petanda awal bahawa Meor Abdul Rahman akan menjadi seorang pendekar yang terbilang.

Apabila meningkat remaja, keluarga Meor Abdul Rahman telah berpindah ke Kampung Pokok Assam, Taiping. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Taiping dan persekolahan menengah di Sekolah King Edwards VII, Taiping seterusnya di Government Trade School di Ipoh sehingga tahun 1935.

Beliau menuntut ilmu persilatan dengan Syed Zainal bin Syed Idris Al-Attas ketika berusia lebih kurang 12 tahun. Sejak kecil beliau sering mendengar kisah pahlawan dan sejarah perjuangan bangsa Melayu dari nendanya. Selama lebih kurang 2 tahun, Meor Abdul Rahman menjalani latihan intensif setiap hari siang dan malam. 

Tempoh latihan tersebut dikira terlalu lama berbanding rakan-rakan beliau yang khatam bersilat hanya menuntut beberapa bulan sahaja contohnya di Ijuk, Changkat Jering dan Batu Kurau. Ini mengakibatkan beliau sering diejek dan dipersenda umpama ' buah yang tidak masak' oleh rakan-rakan sebaya. Apabila persoalan demikian dikemuka oleh bondanya kepada Syed Zainal Al-Attas, jawapan yang diberi ialah cucunda beliau akan dikhatam oleh orang ghaib pada suatu masa dan di suatu tempat di sempadan Kedah dan Siam.

Sejak di alam persekolahan menengah lagi Meor Abdul Rahman gemar keluar kampung untuk mencari pengalaman baru. Dalam tempoh masa antara tahun 1933 sehingga 1935, beliau sering berulang-alik ke Kedah menziarahi kanda iparnya, Hendon di Kota Sarang Semut, Kedah. Beliau hanya menunggang basikal ke Kedah atau ke mana sahaja beliau tuju. Hubungan beliau dengan kanda dan iparnya, Zainal Abidin amat erat. Ketika itu, kanda iparnya bertugas sebagai seorang Inspektor Polis di Balai Polis Kota Sarang Semut.

Ketika di alam persekolahan, Meor Abdul Rahman mempunyai beberapa orang kawan rapat. Mereka ialah Bakar, Wan Noh bin Haji Ismail, Wan Man bin Haji Ismail dan Aziz Khan. Mereka ini sering bersaing dan bergerak bersama-sama dalam kelompok seperti remaja lain dalam pertengahan dan lewat usia belasan tahun. Sejak dari sekolah menengah Meor Abdul Rahman sudah terkenal dengan kekuatannya. Beliau digelar "Rahman The Strong Man". 

Gelaran itu diberi atas kemampuan istimewa Meor Abdul Rahman. Beliau sering diminta oleh rakan-rakannya menunjukkan kehandalan mengangkat objek yang berat dan melakukan kebolehan di luar kebiasaan orang ramai. Setiap pengakuan yang beliau buat, mampu dibuktikan kepada rakan-rakannya. Ini menyebabkan kata-kata beliau dipercayai dan diberi gelaran sebagai orang gagah.

Setelah tamat persekolahan pada tahun 1935, Meor Abdul Rahman mula menetap di rumah Hendon di Kuala Nerang, Kedah. Pada masa itu, Zainal Abidin telah dinaikkan pangkat sebagai Penolong Penguasa Polis dan bertugas sebagai Ketua Polis Kuala Nerang. ASP Zainal Abidin merupakan seorang pegawai polis yang tegas serta berani dan kuat berpegang kepada ajaran Islam. Meor Abdul Rahman sendiri amat menghormati dan segan kepada kanda iparnya itu.

Pada suatu pagi ketika berada di Kuala Nerang, beliau ternampak sebuah gelanggang silat. Setelah merisik, Meor Abdul Rahman difahamkan bahawa guru gelanggang itu ialah Sudin, seorang berketurunan Minangkabau. Beliau bekerja sebagai seorang penjahit topi dan baju. Oleh kerana minat untuk terus mendalami ilmu persilatan, Meor Abdul Rahman mengambil keputusan untuk melawat Sudin. Setelah berbincang, Sudin bersetuju menerima beliau sebagai murid dengan mengenakan bayaran pengeras permulaaan belajar sebanyak RM 1.70 dan khatam sebanyak RM 5.15 beserta seekor ayam.

Malam keesokannya, Meor Abdul Rahman pun datang dan menyerahkan duit pengeras sebanyak RM 1.70. Beliau diarah oleh Sudin berlatih dengan murid-muridnya. Dalam latihan tersebut, Meor Abdul Rahman dicuba oleh tiga orang murid lama Sudin. Niat mereka untuk menjatuhkan Meor Abdul Rahman tidak kecapaian sama-sekali. Akhirnya, orang kanan Sudin bernama Ali mengadu kepada Sudin bahawa adik ipar OCPD itu bukanlah calang-calang orang. Setelah mendengar aduan Ali, Sudin berasa malu kerana muridnya bertiga gagal menewaskan Meor Abdul Rahman seorang. Lalu beliau menghampiri Meor Abdul Rahman dan menyapanya,


"Kamu kalau nak belajar, buat cara nak belajar silat betul-betul!".
Maka dijawabnya Meor Abdul Rahman,
"Saya dah kata, saya ada juga belajar silat tapi tak khatam dari datuk saya, jadi tapak saya kalau dapat diatasi baharulah saya belajar ".
Sampuk Sudin,
"Jadi nak cubalah ye, hah cuba masuk !,"
Balas Meor Abdul Rahman,
"Guru saya kata tak boleh masuk, kenalah orang yang mencabar tu masuk".
Kebetulan pada malam itu, ramai orang hadir menyaksikan latihan silat tersebut termasuk YM Tengku Nong, cucunda Sultan Abdul Hamid Halim Shah yang berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Daerah Kuala Nerang. 

Sudin yang berasa tercabar akibat ketewasan murid-murid harapannya semakin terpukul apabila terpaksa berhadapan sendiri dengan seorang budak belasan tahun. Oleh kerana perasaan marah dan ego telah menguasai akal maka Sudin dengan sepantas kudrat mengatur serangan. Segala tendangan dan sepakan Sudin dapat dielak dan ditangkis oleh Meor Abdul Rahman. Setelah dirasakan cukup peluang diberi kepada Sudin, kini tiba gilirannya pula untuk membuat serangan balas. 

Dalam keghairahan usaha Sudin untuk menjatuhkan Meor Abdul Rahman, tiba-tiba Sudin jatuh pengsan, puas dipulihkan sehingga memakan masa untuk sedar. Sebaik sahaja agak pulih, Sudin mengaku kehandalan Meor Abdul Rahman dan menghulurkan kembali duit pengeras yang diterima. Meor Abdul Rahman enggan menerima duit tersebut malah menghadiahkannya kepada Sudin. 

Di Kuala Nerang, Meor Abdul Rahman berpeluang memenuhi hobi berburu, beliau mempunyai kemahiran istimewa pasang jerat dan ajuk burung. Kemahiran ini diperolehi hasil pergaulan luas dengan berbagai lapisan masyarakat dan kegemaran meneroka sesuatu yang baru. Kedudukan Meor Abdul Rahman sebagai adik ipar Ketua Polis Daerah dan sifatnya yang peramah menyebabkan beliau dihormati dan dikenali ramai di daerah tersebut. Ini memudahkan beliau mendapat kerjasama dari penduduk tempatan jika berhajatkan sesuatu. Meor Abdul Rahman amat cekap berburu dan sering berkongsi hobi dengan Tengku Nong. Beliau sering menggunakan salah satu daripada enam laras senapang kepunyaan Tengku Nong. 

Di samping hobi berburu, beliau sejak usia awal belasan tahun sudah mengamalkan latihan angkat berat, bina badan dan bertinju. Oleh demikian, sejak daripada usia remaja beliau telah memiliki tubuh yang cantik dan tegap. Beliau juga istiqamah dalam melakukan senaman gerak badan dan pernafasan yang diajar oleh Syed Zainal. Latihan seumpama itu menambahkan kekuatan fizikal beliau di samping meningkatkan kecekapan bakat bersilat yang sedia ada.

Pada suatu hari dalam tahun 1936, Meor Abdul Rahman keluar bersiar-siar di Pekan Rabu, Kuala Nerang. Di sana beliau berkenalan dengan seorang perempuan tua beruban dan bertelinga labuh sepanjang 6 inci. Perempuan tua itu sedang menjual burung dan akar-akar kayu yang dibawa dari Mee Nam, Selatan Thailand. Perempuan tua itu memperkenalkan dirinya sebagai Tok Mek Jah dan menceritakan kehidupannya di Mee Nam. Meor Abdul Rahman begitu tertarik mendengar pengalaman Tok Mek Jah dan menyatakan hasrat untuk mengikutnya pulang ke Mee Nam. 

Pada mulanya Tok Mek Jah agak keberatan mengajak beliau kerana khuatir tempat tersebut tidak sesuai dengan Meor Abdul Rahman apatah lagi perjalanannya juga amat jauh. Setelah Meor Abdul Rahman mendesak dan menyatakan kesanggupan untuk mengharungi perjalanan yang jauh serta kesukaran mendapatkan makanan halal, maka Tok Mek Jah pun bersetuju membawanya bersama-sama. 

Keesokannya, tanpa pengetahuan ASP Zainal, Meor Abdul Rahman mengambil sepucuk pistol kanda iparnya yang disimpan dalam sebuah almari. Beliau juga meminjam selaras senapang daripada Tengku Nong dan membawa bersamanya 30 biji peluru. Mereka bertolak menuju ke Mee Nam setelah Tok Mek Jah selesai membeli barang-barang keperluan untuk dibawa pulang ke kampungnya.

Dalam perjalanan tersebut, mereka singgah di Padang Sanai. Di Padang Sanai, beliau sempat menyaksikan pertandingan tinju Siam. Oleh kerana kesempitan wang, beliau menyatakan hasratnya kepada Tok Mek Jah untuk menyertai pertandingan tinju bagi mendapatkan sedikit wang saku. Walaupun Tok Mek Jah menasihatinya supaya tidak bertanding, namun desakan keadaan telah memaksa Meor Abdul Rahman meneruskan hajat tersebut. Beliau dengan berani masuk ke gelanggang Tinju Siam tersebut tanpa memikirkan risiko yang akan ditempuhinya. Dalam pertandingan itu, beliau telah memenangi setiap pertandingan yang dijalankan secara kalah mati. Lawan?lawannya tersungkur akibat dibelasah dengan teruk sehingga separuh mati. Ini telah mengakibatkan rasa kurang senang jaguh-jaguh Siam yang hadir, lebih-lebih lagi menyaksikan rakan-rakan mereka tumbang dengan seorang asing. Melihatkan keadaan yang semakin membimbangkan dan ada ura-ura perbuatan khianat dirancang terhadap Meor Abdul Rahman, Tok Mek Jah terpaksa menarik keluar Meor Abdul Rahman dari gelanggang tersebut dan menasihatinya agar beredar dengan seberapa segera sebelum perkara buruk terjadi.

Mereka dengan segera meneruskan perjalanan sehingga tiba di rumah Tok Choh di Padang Terap. Meor Abdul Rahman memaklumkan hasratnya untuk ke Mee Nam kepada Tok Choh. Tok Choh menjelaskan bahawa perjalanan ke sana memakan masa selama 4 hari dan apa saja yang dijumpa akan menjadi makanan untuk mengalas perut. Meor Abdul Rahman sekali lagi menjelaskan bahawa beliau bersedia mengharungi perjalanan yang jauh dan boleh menembak untuk mendapatkan makanan halal. Penjelasan Meor Abdul Rahman itu memuaskan hati Tok Choh. Keesokannya mereka bertiga bertolak sambil ditemani oleh seorang guru agama bernama Haji Taib.

Dalam perjalanan itu mereka berhenti di Kuah. Di kampung tersebut tidak kedapatan seorang pun bangsa Melayu. Kesemua penduduknya ialah Siam. Mereka menumpang rehat di rumah Lee Chon, Tok Batin di situ. Semasa tinggal di Kuah, Meor Abdul Rahman telah dijadikan sebagai anak angkat Lee Chon. 

Semasa di Kuah juga, Meor Abdul Rahman dicabar oleh pendekar?pendekar Tinju Siam untuk bertanding. Bagaimanapun, untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku, beliau terpaksa menunjukkan kekuatannya mematahkan duit syiling dengan hanya menggunakan tiga jari sahaja, sebahagian duit syiling yang telah dipatahkan itu dihadiahkan kepada pencabarnya sebagai tanda persahabatan. Kebolehan istimewa Meor Abdul Rahman itu dengan secara spontan menundukkan para pencabar dan menyebabkan mereka mengaku kalah sebelum bertarung.

Setelah dua malam di rumah Lee Chon, mereka pun meneruskan perjalanan ke Mee Nam. Rumah penduduk Mee Nam berdindingkan kulit. Mereka yang berada berdindingkan kulit rusa manakala yang miskin berdindingkan kulit kayu. Meor Abdul Rahman menetap di rumah Tok Mek Jah yang dindingnya diperbuat daripada kulit rusa.

Selepas tiga hari di rumah Tok Mek Jah, Meor Abdul Rahman mengambil keputusan untuk mandi bagi menyegarkan tubuhnya. Tok Mek Jah berpesan agar beliau berjalan ikut anak sungai sehingga melepasi rumah penduduk kampung tersebut. 

Setelah puas mandi, beliau terlelap di atas sebuah batu hampar yang besar berwarna hitam di tebing sebatang sungai. Dalam lelap, beliau telah bermimpi didatangi seorang tua berjubah putih. Apabila orang tua berjubah putih menghampirinya secara tiba?tiba ia menjelma sebagai seorang pemuda berbadan tegap dan sasa yang segak lagi tampan lengkap berpakaian hulubalang Melayu serta berkeris seperti zaman dahulu kala. Orang itu memperkenalkan dirinya sebagai Dato' Hang Tuah lalu mencurahkan segala rahsia ilmu Seni Gayong kepada beliau dan akhirnya berkata,
"Akulah Hulubalang Melaka yang tinggal di sini. Sekarang aku khatamkan kamu dan baliklah ke negeri Perak mengadap raja kamu sepertimana aku berkhidmat dengan Sultan Melaka. Kamu sekarang orang yang paling gagah selagi kamu mematuhi syarat dan berpegang kepada janji ".
Lembaga itu meneruskan kata?kata,
" Ngangakan mulut kamu ", lalu diludahkan ke dalam mulut Meor Abdul Rahman.

Pada saat dan ketika inilah, Meor Abdul Rahman diamanahkan untuk mengajar Silat Seni Gayong kepada semua insan yang beragama Islam berdasarkan syarat?syarat dan adat?adat yang tertentu mengikut masa?masa yang tertentu. Batu hitam tempat beliau berbaring itu dipercayai tempat allahyarham Dato' Laksamana Hang Tuah pernah berpijak. Batu Hitam inilah yang dirujukkan oleh Panglima Hitam atau Tengku Daeng Kuning apabila beliau berseru,
"Batu Hitam Tidak Berjodoh, Batu Hitam Tidak Bergadoh, Anak? anakku yang ingin belajar Gayong, Hendaklah berpakaian serba hitam ."
Meor Abdul Rahman tertidur sehingga keesokan harinya. Setelah tersedar daripada tidur, beliau merasakan dirinya diresapi oleh kegagahan yang luar biasa. Perkara tersebut segera dimaklum kepada Pak Choh dan Tok Mek Jah. Meor Abdul Rahman dengan segera memohon keizinan keluarga angkatnya itu untuk berangkat pulang ke Taiping.

Setibanya di Taiping, Mahaguru Meor Abdul Rahman menceritakan detik pengalaman tersebut kepada ahli keluarganya. Atas nasihat Syed Zainal, Mahaguru pergi mengadap Paduka Seri Sultan Alang Iskandar yang sedang bersemayam di Manong, Perak. Beliau dititah untuk menunjukkan kekuatan di hadapan baginda sultan. Pada sebelah malamnya, beliau dititahkan pula mempamerkan kebolehan luarbiasanya di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Setelah berpuashati dengan kegagahan Mahaguru, baginda sultan menggelarkan beliau 'Rahman Sendo' dan dijadikan anak angkat baginda. Mahaguru menetap bersama-sama Sultan Alang Iskandar di istana sehinggalah baginda mangkat dalam tahun 1938. 

Silat Seni Gayong buat pertama kalinya diperkenalkan ialah di Taiping, Perak. Mahaguru menzahirkan ilmu pusaka dan amanah yang diterima dari allahyarham Dato' Laksamana Hang Tuah di kalangan ahli keluarga dan rakan terdekat. 

Tidak berapa lama setelah keluar dari Istana, mahaguru dijodohkan dengan Che Kalsom Bt Haji Kechik, anak angkat kandanya Hendon. Perkahwinan mereka dilangsungkan di Kota Sarang Semut, Kedah.

Tidak lama selepas berkahwin, Mahaguru dengan ditemani seorang sepupunya, Zainal Abidin bin Putih Mohammed Saleh (Bidin) bermusafir ke Singapura untuk mencari rezeki di sana. Pekerjaan pertama Mahaguru di Singapura ialah di Naval Base sebagai seorang tukang pateri. Setelah 6 bulan bekerja di sana, beliau ditawar pekerjaan oleh Pengarah Pendidikan Singapura berkhidmat dengan pasukan tentera British di bahagian Royal Signal Corps. 

Setelah beliau berjaya menewaskan seorang jurulatih tempur berbangsa Hong Kong di Gillman Barrack, Mejar Malburn melantik beliau sebagai jurulatih tempur tanpa senjata dalam pasukan tentera British. Ini merupakan satu penghormatan besar kerana belum ada seorang Melayu pun diberi tugas tersebut sebelum itu. Beliau berkhidmat dalam pasukan ini sehingga tahun 1942. 

Semasa berkhidmat di Bahagian Signal Corps, pada bulan November 1941, beliau melangsungkan perkahwinan kedua dengan anak sepupunya, Paridah bt Yusope.

Apabila Jepun menyerang Singapura pada bulan Februari 1942. Mahaguru membawa keluarganya berperahu menyeberangi lautan api ke Pulau Sudong. Setelah berjaya menewaskan Wak Kusang, pendekar Pulau Sudong baharulah mereka diterima berlindung buat sementara waktu di sana. 

Pada 17 haribulan Februari 1942 jam 2.00 petang, seramai 7 orang pemuda Pulau Sudong diperlimau sebagai murid Gayong. Mereka ialah Naning bin Ahmad, Ahmad Arshad bin Haji Hassan, Sabtu bin Likur, Yusof bin Rantau, Osman bin Timpong, Mustapha bin Bengkok dan Bendol bin Benggol. Mereka terpilih untuk menghadapi kemaraan tentera Jepun yang ingin merampas gadis Pulau Sudong untuk dijadikan pemuas nafsu ganas mereka. Atas kebijaksanaan Mahaguru, penduduk Pulau Sudong terselamat dari keganasan tentera Jepun.

Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu, Mahaguru pernah ditangkap kerana mencederakan sekumpulan tentera Jepun yang cuba memperkosa isteri pertamanya. Beliau kemudiannya dibebaskan setelah lebih sebulan dipenjara apabila sekumpulan pegawai penjara Jepun berjaya ditewaskannya dalam satu pergaduhan. Atas nasihat seorang jurubahasa Jepun, Mahaguru telah dibebaskan. Bagi menjamin keselamatan keluarga dan penduduk kampungnya, beliau terpaksa menerima tawaran bekerja sebagai seorang tentera Jepun. Tidak berapa lama kemudian, beliau berkahwin dengan Syarifah Rehan bt Syed Chik. Perkahwinan tersebut hanya berkekalan selama sebulan sahaja sebagai memenuhi hajat keluarga semata-mata.

Setelah dua tahun berkhidmat dengan pentadbiran Jepun, Mahaguru kembali ke Pulau Sudong. Tidak berapa lama berada di Pulau Sudong, beliau dilantik menjadi penghulu oleh penduduk Pulau Sudong. Apabila British mengambilalih semula pemerintahan Singapura, Mahaguru dilantik secara rasmi sebagai Penghulu Besar Pulau Sudong dan kepulauan sekitarnya.

Pulau Sudong dijadikan pusat perkembangan Silat Seni Gayong sehingga ia merebak ke pulau-pulau berhampiran seperti Pulau Seking, Pulau Bukum, Pulau Sebaruk, Pulau Sekijang, Pulau Sembilan, Pulau Semakom dan Pulau Damar. Mahaguru juga telah menggunakan Silat Seni Gayong untuk menyelamatkan penduduk Pulau Terung daripada ancaman lanun di perairan pulau tersebut. Dari pulau ini, Silat Seni Gayong tersebar ke lain-lain pulau di Indonesia. 

Dalam tahun 1947, Kerajaan British menawarkannya jawatan sebagai pegawai di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Singapura. Mahaguru ditugaskan untuk mengawasi dan menangkap pemimpin politik Melayu yang meniupkan semangat anti-British. Peluang ini diambil oleh beliau untuk menyalur maklumat sulit kepada pejuang-pejuang kemerdekaan seperti (Tun) Sardon bin Jubir, peguam dan tokoh politik terkenal di Singapura. 

Setelah empat bulan di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Mahaguru memohon bertukar ke Jabatan Siasatan Jenayah. Pada mulanya beliau ditempatkan di Bahagian Merinyu Timbangan untuk mencegah aktiviti penyeludupan dan penipuan. Kemudiannya beliau ditukarkan pula ke Bahagian Kepolisian di Balai Polis Central, Singapura sebagai seorang pegawai berpangkat sarjan. Pada 23 haribulan Disember 1947, Mahaguru dianugerahkan pingat King George IV atas sifat keberanian semasa berbakti kepada masyarakat dan kerajaan Singapura. 

Silat Seni Gayong mula berkembang di pulau besar Singapura pada akhir tahun 1949. 7 orang murid pertama yang menjalani upacara perlimau Tapak ialah Ahmad Sudi, Mansor bin Fadal, Ustaz Mansor, Sinwan, Joned bin Hanim, Hosni bin Ahmad dan Salim. Sinwan, Joned bin Hanim dan Salim merupakan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Singapura yang terawal menjadi murid Gayong. Pusat Latihan Silat Seni Gayong dalam tahun 1950-an di pulau besar Singapura ialah di Bakar Sampah. 

Dalam tahun 1954, kumpulan pertama wanita seramai 7 orang telah memasuki Silat Seni Gayong di Singapura. Mereka ialah Che Kalsom bte Haji Kechik, Paridah bte Yusope, Asmah (isteri Joned bin Hanim), Aisyah (isteri Mansor Fadal), Rafeah bin Fadal, Hendon dan Intan.

Pada pertengahan tahun 1950-an, ramai bintang filem Melayu mempelajari Silat Seni Gayong. Antaranya ialah Jasni bin Ahmad, Neng Yatimah, Kasma Booty, dan A. Rahim. Penglibatan tokoh pelakon yang terkenal tersebut sedikit sebanyak membawa pengaruh Silat Seni Gayong di dalam aksi pertarungan filem-filem Melayu di Studio Jalan Ampas.

Kemuncaknya dalam tahun 1956, Dato' Onn bin Jaafar, seorang tokoh politik dan pemimpin Melayu yang disegani telah menjadi murid Gayong. Beliau dilantik sebagai Penasihat Agung dan Waris Beradat Silat Seni Gayong. Dato' Onn banyak memberi idea dan sumbangan untuk menggerakkan Silat Seni Gayong dan meniupkan semangat patriotik di kalangan murid Gayong. Usaha beliau itu diberi sokongan kuat oleh isterinya, Datin Zainab dan anggota keluarganya yang lain termasuklah anaknya bernama Nasir dan Hussein. Husein kemudiannya menjadi Perdana Menteri Malaysia Kedua. 

Tidak lama kemudian, YAM Tengku Laksamana Kedah Tunku Kassim ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halimshah menyertai Silat Seni Gayong. Pada akhir tahun 1956, satu rombangan Silat Seni Gayong dari Singapura yang dipimpin sendiri oleh mahaguru telah mengadakan persembahan di Istana Anak Bukit dan Kelab Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, Kedah atas undangan Tunku Kassim. Pertunjukan tersebut telah disaksi oleh DYMM Sultan Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halimsyah, Sultan Kedah Darul Aman. Ini merupakan cubaan pertama untuk mengembangkan sayap Silat Seni Gayong di Kedah. 

Penglibatan Tunku Kassim dalam Silat Seni Gayong menjadi ikutan di kalangan kerabat Di-raja Kedah. Bagaimanapun, Silat Seni Gayong gagal berkembang di kalangan rakyat jelata memandangkan jurang taraf yang amat ketara pada ketika itu. 

Pada awal tahun 1959, sebuah akademi silat bernama Sekolah Gayong Woodlands atau Institute Of Gayong Woodlands telah ditubuh oleh mahaguru. Akademi ini mengeluarkan Sijil dan Diploma bagi mereka yang lulus dalam kursus-kursus yang ditawarkan. Antara tenaga pengajar di peringkat awal yang membantu mahaguru ialah Cikgu Nordin bin Abdul Rahman, Cikgu Sidek bin Shamsuddin, Cikgu Abdul Majid bin Omar, Cikgu Atan bin Osman dan Cikgu Ramli. Akademi ini juga dijadikan sebagai Pusat Latihan Tertinggi Silat Seni Gayong.

Mahaguru bersara daripada perkhidmatan kerajaan dalam tahun 1961 untuk bergiat cergas mengembangkan Silat Seni Gayong.

Setelah mahaguru memikirkan bahawa beliau memerlukan seorang pembantu dalam mentadbir urusan kegurulatihan dan pelajaran Silat Seni Gayong, maka dalam tahun 1962, Cikgu Abdul Majid bin Mat Isa dilantik sebagai Guru Tertinggi Silat Seni Gayong merangkap Timbalan Pengarah Guru-guru di Malaysia dan Serantau.

Tidak lama kemudian, Pusat Latihan Tertinggi dipindahkan dari Woodlands ke Kota Sarang Semut, Kedah.

Atas nasihat dan komitmen YM ( Dato' ) Syed Ahmad bin Syed Idris Jamalulail dan YB ( Dato' ) Senu bin Abdul Rahman, mahaguru mula didekati pemimpin negara dan perjuangan Silat Seni Gayong telah dilihat sebagai satu mekanisme yang boleh menyatupadukan bangsa Melayu dan orang-orang Islam.

Silat Seni Gayong mula tersebar luas di Semenanjung Tanah Melayu atas daya usaha guru-guru Gayong yang pada ketika itu terdiri daripada Cikgu Abdul Majid bin Mat Isa, Cikgu Ramli bin Mat Arof, Cikgu Awang bin Daud, Cikgu Ismail bin Chik, Cikgu Ibrahim bin Abdullah, Cikgu Mohd Khir bin Saad, Cikgu Mohd Desa Lim, Cikgu Ahmad Lazim dan Cikgu Siti Kalsom. 

Pada tanggal 31 haribulan Ogos 1967, Gayong dijemput menyertai perarakan sempena menyambut ulangtahun ke-10 kemerdekaan tanahair. Ini menandakan satu pengiktirafan pemimpin negara terhadap perjuangan dan usaha mahaguru untuk memartabatkan seni silat Melayu. 

Pada akhir tahun 1969, Mahaguru mula menetap di Air Kuning, Taiping. Seterusnya dalam masa ini juga, sistem tingkatan bengkong dan pelajaran Silat Seni Gayong secara lebih sistematik telah disusun oleh beliau dengan dibantu oleh guru-guru kanan. Tahap pelajaran telah disusun mengikut tingkatan bengkong yang dikategorikan mengikut warna. Sebelumnya hanya terdapat beberapa warna bengkong sahaja iaitu merah, kuning dan hitam.

Dalam tahun 1970, Mahaguru mengikuti rombongan kebudayaan anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia Dan Sukan Malaysia selama dua minggu ke Osaka, Jepun. Lawatan tersebut sedikit sebanyak telah berjaya memperkenalkan Silat Seni Gayong di peringkat dunia.
Pada 27 haribulan Januari 1971, Pusat latihan Tertinggi Silat Seni Gayong Malaysia Dan Serantau telah dirasmikan oleh DYMM Sultan Idris Syah ibni Almarhum Sultan Alang Iskandar di Air Kuning, Taiping.

Kemuncaknya, pada 3 haribulan Julai 1971, Sultan Idris Syah berkenan untuk menjalani istiadat perlimau tapak dan menerima perlantikan baginda sebagai Penaung Agong Silat Seni Gayong Malaysia Dan Serantau bergelar Sang Sa Purba. Istiadat tersebut disempurnakan di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar. 

Pada 17 haribulan September 1971, beliau telah dianugerahkan Darjah Kebesaran Dato' Paduka Chura Si Manja Kini yang membawa gelaran Dato' Paduka oleh KDYMM Sultan Idris Syah atas jasa dan pengorbanan yang tidak ternilai kepada agama, bangsa dan negara. Pada sebelah petangnya murid-murid Gayong seluruh Malaysia telah menyambut perayaan Hari Sang Sa Purba yang pertama. Sambutan ini disempurnakan di Padang Sekolah Kebangsaan Changkat Larut, Ayer Kuning, Taiping. Kemasukan baginda Sultan Idris ke dalam Silat Seni Gayong telah disertai sama Raja Perempuan dan isteri-isteri baginda juga anggota kerabat yang lain. 

Pada tanggal 21 haribulan Julai 1971, Dato' Mahaguru ditemani Syed Ahmad Jamalulail dan Syed Jaafar Albar berangkat ke London untuk membawa pulang YAM Raja Kechil Bongsu Raja Izzuddin Syah ibni Sultan Idris Syah ke tanahair.

Semasa singgah di Hong Kong dalam perjalanan pulang ke Malaysia, mereka telah ditemui Bruce Lee, pakar seni beladiri terkenal. Dalam pertemuan singkat itu, Dato' Mahaguru sempat bertukar fikiran dan maklumat tentang seni beladiri Melayu dan Cina dengan Bruce Lee. Bruce Lee juga telah mengakui kehandalan Dato' Mahaguru dan kehebatan Silat Seni Gayong.

Tahun 1970-an menyaksikan usaha penyatuan pemimpin tertinggi Melayu dan kerajaan melalui Silat Seni Gayong diusahakan oleh Dato' Mahaguru. Raja-raja dan para pembesar Melayu juga berkenan untuk menaungi pergerakan Silat Seni Gayong hampir di seluruh negeri Tanah Melayu. Pada satu ketika hampir 2/3 anggota kabinet negara Malaysia terdiri daripada ahli Gayong di bawah pimpinan Tun Abdul Razak. 

Sehingga akhir tahun 1980-an, tidak kurang juga tokoh dan pakar senibela asing datang melawat Dato' Mahaguru di Pusat Latihan Tertinggi dengan tujuan berkenalan, menuntut atau menguji kehandalan masing-masing. Semua cubaan dan dugaan tersebut berjaya diatasi dengan baik dan berkesan. Tidak kurang juga daripada pelawat tersebut yang memeluk ajaran Islam setelah berpeluang bertemu dan berbincang dengan Dato' Mahaguru. 

Pada saat-saat akhir hayat beliau, Dato' Mahaguru sering berpesan agar murid-murid Gayong kembali bercantum dan bersatu-padu. Muda-mudi diseru menuntut bersungguh-sungguh ilmu yang telah diperturunkan kerana ia amat berguna pada suatu masa nanti. Semua murid Gayong ialah pemegang amanah Silat Seni Gayong dan bertanggungjawab memelihara dan menjaga segala amanah beliau.

Pada tanggal 23 haribulan Jun 1991, Dato' Mahaguru telah kembali ke rahmatullah. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Ipoh Specialist Centre, Jalan Lumba Kuda, Perak. Semoga Allah menempatkan Pendita Agung Silat Melayu Abad ke-20 di kalangan hamba-Nya yang soleh dan dirahmati. Al-Fatihah.