Daripada penceramah kekok kepada pemidato hebat

KUALA LUMPUR 2 April - Datuk Idris Shaari Mat Aris masih tidak dapat melupakan sehingga hari ini betapa gelinya hati beliau apabila Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan ucapan pertamanya sebagai anggota Parlimen Pekan pada 1976.

Bekas pengawal peribadi kepada bapa Najib dan perdana menteri kedua negara, Tun Abdul Razak Hussein itu berkata, "kedengaran amat kekok" apabila Najib berucap pada majlis persatuan ibu bapa dan guru di sebuah sekolah di Kampung Almarhum di Pekan, Pahang.

"Saya hanya sanggup mendengar beliau berucap beberapa ayat dalam bahasa Melayu sebelum menyorok dalam kereta bersama-sama pemandu kerana bunyi sebutan beliau amat kekok," kata Idris Shaari, 66, yang jelas lucu dengan kejadian itu, kepada Bernama dalam temubual eksklusif di rumahnya di Jalan Eaton di sini, baru-baru ini.

"Beliau (Najib) hanya kembali dari England kira-kira setahun lebih sebelum itu dan tidak boleh berbahasa Melayu dengan baik," katanya.

Namun, Idris Shaari kini amat bangga dengan Najib yang kemudiannya telah berusaha keras untuk memperbaiki kemahirannya berucap dan mampu bercakap dengan fasih dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

Idris Shaari yang telah bersama-sama Najib sejak permulaan kerjaya politiknya berkata, Najib dihantar melanjutkan pelajaran ke Malvern Boys' College di Worcestershire, England, pada usia 12 tahun, yang menjelaskan kenapa beliau kurang fasih berbahasa Melayu ketika itu.

Katanya, Najib hanya dibenarkan pulang ke tanah air setahun sekali dan apabila beliau kembali ke tanah air untuk selamanya selepas memegang segulung ijazah kepujian Ekonomi Industri dari University of Nottingham, England, ialah pada 1974 dan ketika itu beliau berumur 21 tahun.

"Tetapi beliau berazam untuk memperbaiki sebarang kekurangan itu. Beliau mendapatkan bantuan profesor bahasa yang mengajarnya secara peribadi di rumahnya dan beliau belajar sehingga menjadi sebaik pada hari ini. Dan dalam usahanya untuk lebih dekat dengan penduduk di kawasannya dan memahami cara mereka, Najib juga belajar menulis dan membaca dalam Jawi," katanya.

Idris Shaari yang sebelum itu berkhidmat dalam pasukan polis bersara pada 1976 berikutan kematian Tun Razak, dan dilantik sebagai setiausaha sulit kepada ibu Najib, Tun Rahah Mohd Noah.

Beliau hanya berumur 22 tahun apabila diambil bekerja oleh Tun Razak pada 1965 dan telah bersama-sama keluarga itu selama 44 tahun. - Bernama

Idris Shaari menyifatkan Najib sebagai seorang kanak-kanak yang beradab sopan dan rajin belajar serta mempunyai hubungan yang rapat dengan empat adik lelakinya — Ahmad Johari, 54, Mohamad Nizam, 51, Mohamad Nazim, 47, dan Mohamad Nazir, 42.

"Sepanjang saya bersama-sama mereka, saya tidak pernah dengar yang mereka saling menyinggung perasaan atau memburuk-burukkan antara satu sama lain.

Adik-adiknya begitu menghormati Najib, bukan kerana beliau seorang menteri atau bakal menjadi perdana menteri akan datang, tetapi kerana beliau ialah abang sulung mereka," katanya.

Beliau berkata, hubungan antara adik beradik itu amat rapat sehingga mereka menjadikan amalan untuk berkumpul di rumah ibu mereka pada setiap Khamis untuk makan malam.

"Walaupun mereka amat menghormati ibu mereka, anda dapat lihat yang mereka bebas bergurau senda dengannya," katanya.

Ketika ditanya sama ada Tun Razak pernah membimbing Najib untuk mengambil alih tempatnya atau membabitkan diri dalam politik, Idris Shaari menafikannya dan berkata: "Tun (Razak) tidak pernah menggalakkan mana-mana anaknya untuk menceburi politik.

"Bagaimanapun, setahun sebelum Tun meninggal dunia, semasa Najib berada di Malaysia kerana bercuti, beliau (Tun Razak) telah meminta saya membawa Najib pergi melawat ke kampung-kampung di Pahang," katanya.

Katanya, mungkin ketika itu Tun Razak sudah tahu yang beliau tidak akan hidup lama dan mahu Najib mewarisi legasinya. Tun Razak meninggal dunia di London pada 14 Jan 1976 akibat penyakit leukemia.

Mengenai pelantikan Najib sebagai perdana menteri keenam esok, Idris Shaari berkata beliau berharap Najib akan memilih pasukannya daripada yang paling setia di kalangan penyokongnya kerana pasukan yang utuh diperlukan untuk menerajui negara dalam mengharungi kegawatan ekonomi sekarang dan mengukuhkan lagi hubungan antara kaun.

"Saya juga berharap beliau akan memantau mereka yang bekerja untuk beliau bagi memastikan yang mereka bekerja untuk membantu beliau membangunkan negara dan bukan untuk mencapai agenda peribadi mereka," katanya.

— BERNAMA