Tekad ubah kehidupan

Oleh Nazdy Harun

KEADAAN ibu bapanya yang buta huruf mendorong Muhammad Nor Abidin, 23, belajar bersungguh-sungguh untuk mengubah kehidupan keluarganya.

Kesungguhan pelajar Diploma Psikologi itu berbaloi apabila menerima dua anugerah, Emas Presiden dan Kecemerlangan Al Ghazali pada Majlis Konvokesyen Ketiga Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Anak kelahiran Melayu Bugis dari Sandakan, Sabah itu, berkata prinsip hidup untuk menjadi yang terbaik di kalangan terbaik menyebabkan dia berusaha keras memburu kejayaan sepanjang tiga tahun menuntut di kolej berkenaan.

"Hasrat membalas jasa dan pengorbanan ibu bapa selain mengubah kehidupan keluarga mendorong saya belajar bersungguh-sungguh.

"Saya gembira usaha saya berjaya, malah menerima dua anugerah tertinggi. Kejayaan ini untuk bapa yang bekerja mengambil upah menebang balak dan ibu, tukang masak di kantin sebuah sekolah di Sandakan," katanya.

Dia terpilih menerima anugerah itu selepas mengekalkan gred purata 3.50 setiap semester.

"Sebelum ini saya pernah menolak tawaran menuntut di jurusan paramedik di sebuah universiti tempatan kerana berminat dalam bidang psikologi. Ini yang mendorong saya memilih KIST.

"Saya akan menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi untuk memburu cita-cita menjadi pakar psikologi," katanya.


Penerima Anugerah Khas Presiden, Romis Apin, 21, dari Ranau, Sabah yang mengambil jurusan Diploma Kejururawatan tidak menyangka lulus cemerlang dalam mata pelajaran agama Islam.

"Lulus mata pelajaran berkaitan Islam wajib di KIST bagi membolehkan pelajar bukan Islam turut memahami mengenai agama itu," katanya.

Sempena majlis konvokesyen itu, seramai 751 graduan menerima diploma dan sijil masing-masing daripada Pengerusi Lembaga Penasihat KIST, Datuk Tengku Putera Tengku Awang. Turut hadir, Presiden KIST, Muhamad Zamly Abdullah.

Sementara itu, Tengku Putera berkata, KIST akan membuka tiga kampus baru di Sarawak, Sabah dan Kedah awal tahun depan yang mampu menampung 10,000 pelajar dengan kos kira-kira RM20 juta.

Ketika ini KIST mempunyai dua kampus yakni di Bachok, Kelantan dan Kuala Berang, Terengganu dengan lebih 4,000 pelajar.

Sementara itu, Ketua Pegawai Bahagian Pengambilan Pelajar KIST, Noor Haslina Abdullah, berkata bagi kemasukan Januari tahun depan, pihaknya mensasarkan 1,000 pelajar di kampus Bachok dan 500 pelajar di Kuala Berang.


SENARAI PEMENANG ANUGERAH KONVOKESYEN KIST

Anugerah Emas Presiden
Muhammad Nor Abidin

Anugerah Kecemerlangan Al Ghazali (Program Diploma Psikologi)
Muhammad Nor Abidin

Anugerah Kecemerlangan Ibnu Sina (Program Diploma Pembantu Perubatan)
Nur Amira Syahida Mohd Zawai

Anugerah Kecemerlangan Ibnu Kaitam (Program Diploma Radiografi Diagnostik)
Roserina Liana Razali

Anugerah Kecemerlangan Saidatina Rufaidah (Program Diploma Kejururawatan)
Nurul Habibilah Ismadi

Anugerah Kecemerlangan Annawawi (Program Diploma Pengajian Syariah)
Nurul Husna Md Zin

Anugerah Khas Presiden
Romis Apin

Anugerah Khas Jabatan

Anugerah Khas Jabatan Pembantu Perubatan
Jufriadie Undang
Syacerelyne Suan Yun Chin

Anugerah Khas Jabatan Kejururawatan
Ummi Sarah Abdullah
Fardli Azizan

Anugerah Khas Jabatan Radiografi Diagnostik
Che Radziah Ya'acob
Suryani Aluwi

Anugerah Khas Jabatan Psikologi
Mohd Fathan Mustafa
Nurazilawati Abdul Yaziz

Anugerah Khas Jabatan Syariah
Sharifah Zulaina Wan Ali
Mohd Hafizhuddin Mat Naziz