Ianya sinonim dengan isu yang masih hangat diperkatakan oleh anak watan Sabah mengenai kedudukan sebenar bangsa Bugis di kaca mata rakyat Sabah.
Maka, di sini kita akan mengambil peluang untuk menjelaskan apakah kedudukan bangsa Bugis di Sabah. Penduduk Sabah mempunyai sejumlah besar masyarakat majmuk malah bilangan etnik yang wujud di Sabah lebih banyak berbanding di Semenanjung Malaysia. Bagaimana pulak kita akan mengkategorikan masyarakat Bugis dalam rumpun rakyat tempatan Sabah.
Catatan dari Sejarah Kedatangan Awal Bangsa Bugis Ke Sabah
Suku kaum Bugis merupakan salah satu etnik yang terdapat di dalam kelompok ras berbilang bangsa di negeri Sabah. Kebanyakan suku kaum ini telah menetap di pantai Timur Sabah iaitu di daerah Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu.
Sejarah kedatangan suku kaum Bugis di Sabah (Tawau khususnya) berkaitan dengan sejarah penerokaan Tawau. Adalah dipercayai suku kaum ini telah meninggalkan Kepulauan Sulawesi menuju ke Pulau Jawa, Sumatera, Semenanjung Malaysia, Kalimantan dan Borneo sejak abad ke-16 lagi.
Tahun 1840 dijadikan sebagai fakta kukuh untuk menyatakan tempat permulaan penerokaan Tawau oleh suku kaum Bugis. Penempatan awal oleh suku kaum Bugis ini bermula di kawasan yang dikenali sebagai Ranggu. Ini bermakna suku kaum Bugis sudah pun menerokai kawasan Tawau dan menjadikan Ranggu sebagai salah satu destinasi untuk berulang-alik ke Indonesia menjadi pedagang dan membawa masuk pekerja buruh ke ladang-ladang milik kerajaan British ketika itu. Apapun, Ranggu diasaskan oleh nenek Penghulu K.K. Salim di Kampung Sungai Imam, Bombalai.
Kemudian seorang lagi bangsa Bugis dari kerabat diraja Bone bernama Petta Senong menetap di Sungai Imam, Bombalai. Usaha mereka ketika itu adalah sebagai orang upahan kepada Kerajaan Sulu untuk menghapuskan sebanyak mungkin lanun-lanun yang bergerak di perairan Laut Sulu, Borneo.
Kemudian, beberapa kawasan baru terus diterokai oleh suku kaum Bugis dan kawasan yang termasuk dalam tapak pembangunan Bandar Tawau. Antara suku kaum Bugis yang terlibat dalam penerokaan bandar Tawau ialah Puang Ado, Daeng Mappata, Wak Neke, Wak Gempe dan Haji Osman.
Di sini menunjukkan dengan jelas kedudukan masyarakat Bugis sebagai anak watan Sabah tetapi timbul persoalan apakah anak-anak bangsa Bugis yang ada sekarang ini adalah dari keturunan awal rakyat tempatan Bugis tersebut?
Bagaimana pulak status pendatang politik berbangsa bugis selepas kemerdekaan Malaysia atau lebih tepat lagi 20 – 30 tahun yang lalu? Mereka yang terkemudian datang ke Sabah adalah pendatang asing dan pendatang politik yang datang sama ada melalui pencerobohan mahupun undangan “Khas” ahli politik berpengaruh dengan sebab serta tujuan tertentu.
Di sini bermula lah konflik meletakkan siapa sebenar anak watan dan siapa pendatang asing kerana bangsa Bugis memang sedia ada di Sabah. Memang tidak adil jika si pendatang asing yang baru menetap di Sabah selama 20 tahun dianggap warganegara Malaysia yang berstatus Bumiputra Muslim apatah lagi memiliki keistimewaan yang tidak pernah dimiliki oleh bangsa lain seperti India dan Cina walaupun telah berakar umbi di Malaysia lebih dahulu dari mereka ini.
Kita melihat peningkatan drastik dalam jumlah rakyat berbangsa Bugis dalam 20 tahun kebelakangan ini malah sudah melangkaui jumlah rakyat peribumi KDM. Apakah perangkaan statistik tersebut menunjukkan bahawa bangsa Bugis lebih ramai yang melahirkan anak berbanding KDM, tentu tidak sama sekali!
Jawapan nya terletak kepada kedatangan pendatang asing sejak 20 tahun hingga ke hari ini yang membanjiri Bandar-bandar utama di seluruh Sabah. Mereka mengambil kesempatan di atas keistimewaan anak watan Bugis sedia ada untuk mendapatkan kemudahan tersebut untuk diri sendiri dan keturunan selepas mereka.
Maka, persoalannya mengapa ini boleh juga terjadi? Jikalah masyarakat Bugis Sabah mampu menyumbang kepada keselamatan bumi Sabah, ini semua tidak terjadi secara total. Ramai juga anak watan Bugis Sabah menghulurkan tangan di dalam membantu si pendatang asing mendapatkan kerakyatan Sabah memandangkan mereka adalah sebangsa tetapi pujian juga harus diberikan kepada mereka yang mampu berdiri teguh bersama KDM untuk membanteras pencerobohan bangsa asing biarpun ianya melibatkan saudara mara sendiri.
Sepanjang saya menglibatkan diri di dalam usaha menyedarkan rakyat Sabah mengenai isu pendatang asing, saya banyak mempelajari benda serta ilmu pengetahuan baru dan ada kalanya penulisan saya yang lalu hanya berdasarkan emosi dan bukan fakta secara keseluruhan. Namun saya juga menyeru kepada anak watan Bugis yang lain agar jangan cepat melatah apabila kita menyebut pendatang asing bangsa Bugis. Sikap sebegini akan lebih memburukkan keadaan malah mencemar nama baik bangsa Bugis sendiri, tak gitu?
Sebenarnya peluang melanjutkan pelajaran di Sekolah atau Institusi Pengajian Tinggi Malaysia, peluang pekerjaan di sektor awam atau swasta dan peluang yang ternganga luas di bidang ekonomi banyak di “curi” oleh anak-anak yang saya kategorikan pendatang asing. Malah saya mempunyai ramai kenalan yang tidak mempunyai sebarang pengenalan diri atau yang telah datang ke Sabah sejak zaman anak-anak lagi mendapat pekerjaan di sektor kerajaan melalui cara serta kaedah yang “kotor”.
Apabila ini berlaku, apakah akan terjadi kepada generasi seterusnya si pendatang asing ini? Ya, tentu sekali mereka akan memperolehi kesenangan seperti anak watan Sabah. Ini yang menjadi kebimbangan kita semua. Tentu sekali peluang untuk anak watan Sabah akan tertutup dan jika ada pun, terpaksa melalui persaingan yang sengit.
Tetapi saya merasa tidak senang terhadap masyarakat Bugis tempatan kerana tidak memperdulikan isu sebegini malah mengambil sikap acuh tak acuh sahaja. Kan ini namanya akan mengundang kepada perpecahan masyarakat tempatan Sabah. Sikap berkecuali yang disokong oleh kalian akan merugikan bangsa lain dan mencemar nama baik bangsa Bugis…janganlah hanya kerana pendatang asing yang menceroboh tersebut adalah sebangsa dengan kalian atau merupakan saudara-mara kalian.
Perjuangan menentang isu pendatang asing di blog saya semakin mendapat tempat di hati anak-anak muda Sabahan dan harapan saya agar jangan diperlekehkan usaha ini agar nasib anak cucu kita di masa akan datang terbela. Saya mengharapkan agar wujudnya satu jalan lain yang boleh kita semua Sabahan jadikan wadah perjuangan di dalam usaha membantu masyarakat setempat.
Salah satu cara untuk mengetengahkan suara hati kita, anak tulen Sabah kepada seluruh rakyat Sabah mahupun kerajaan Malaysia adalah dengan mengadakan satu dialog serta Forum terbuka untuk mencari jalan penyelesaian secara berperingkat. Mungkin juga boleh diwujudkan satu badan atau jawatankuasa berkecuali yang bertujuan untuk memberi input terkini dan membela nasib kita semua.
Kaedah terkini yang serba canggih seperti media komunikasi dan cetakan mampu menyampaikan suara hati kita ini tetapi perlu ada usaha berterusan dari semua pihak tanpa campurtangan politik atau dari pihak yang berkepentingan.
Penulis,
Muhd Firdaus Abdullah
Sumber: http://kinabalukini.wordpress.com/