Siapa Panglima Hitam?

Siapa sebenarnya gerangan yang dipanggil Panglima Hitam? Adakah beliau seorang yang benar-benar hebat sehingga nama Panglima Hitam ini menjadi suatu nama Lagenda dalam ilmu beladiri Melayu ini? Dalam ruangan dan kesempatan ini, saya cuba untuk berkongsi fakta tentang Panglima Hitam ini setakat pada pengetahuan saya. Mungkin ramai di kalangan kita yang lebih arif tentang sejarah siapa sebenarnya Panglima Hitam ini. Harap ada yang sanggup berkongsi pandangan dan fakta yang saya rasakan perlu untuk kita orang-orang silat kenal siapa sebenarnya Panglima Hitam ini.

Menyingkap kewujudan Panglima Hitam, sejarah telah menunjukkan yang setiap Sultan mempunyai
pengawal peribadi yang sangat handal dalam pertempuran yang digelar Panglima Hitam. Maknanya, Panglima Hitam ini merupakan suatu nama gelaran dan bukan hanya tertakluk pada seseorang individu. Antara yang tersohor ialah;
  1. Panglima Hitam (Taiping) atau nama sebenarnya Tengku Daeng Kuning anak raja Bugis yang menjadi pendekar terbilang pada abad ke -18
  2. Panglima Hitam (Kuala Selangor)
  3. Panglima Hitam (Jugra)
  4. Panglima Hitam (Muar,Johor)
  5. Panglima Hitam (Segamat,Johor)
Dalam sejarah negeri Selangor, Panglima Hitam sebagai pahlawan yang berani dan setia dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan diri Sultan, Istana dan Kerajaan. Mereka terdiri dari;
  1. Panglima Hitam pada zaman Almarhum Sultan Ibrahim iaitu Sultan Selangor yang kedua dan Almarhum Sultan Muhammad iaitu Sultan Selangor yang ketiga.
  2. Panglima Hitam yang dikenali juga sebagai Daeng Ali iaitu pengawal peribadi Almarhum Sultan Abdul Samad yang merupakan Sultan Selangor yang keempat.
Dalam sejarah negeri Johor pula, terdapat dua individu yang bergelar Panglima Hitam iaitu;
  1. Panglima Hitam di Muar yang bernama Baginda Zahiruddin berasal dari Padang Pariaman Minangkabau, Sumatera. Beliau merupakan pengasas kepada Silat Lintau pada abad ke-16.
  2. Panglima Hitam di Segamat yang merupakan pemimpin ketenteraan dan telah berjaya mengalahkan kumpulan pemberontak dalam perang Jementah yang berlaku di kawasan Segamat.
Dan yang terkenal sekali adalah Panglima Hitam di negeri Perak yang bernama Tengku Daeng Kuning, anak Raja Bugis dari Makasar, Sulawesi. Gelaran Panglima Hitam pada beliau bersempena dengan ilmu kependekaran yang tinggi dan sentiasa memakai pakaian yang berwarna hitam. Mula sampai di Kepulauan Tanah Melayu pada 1813 bersama 6 saudara yang lain. Sesampainya di Tanah Melayu, mereka 7 bersaudara masing-masing membawa haluan sendiri mengikut ilmu dan firasat mereka. Maka berpecahlah mereka ke negeri-negeri berikut;
  1. Perak
  2. Pahang
  3. Kedah
  4. Terengganu
  5. Johor
  6. Selangor
  7. Melaka
Makam Daeng Kuning

Makam Allahyarham Dato' Meor Abdul Rahman
Daeng Kuning @Panglima Hitam telah menetap di Kuala Larut yang diberi nama Relur Tujuh dan kini dikenali sebagai Air Kuning, Taiping. Beliau meninggal pada 1875 dan disemadikan di Kampung Tupai, Jalan Pokok Assam, Taiping. Dari keturunan beliaulah, lahirnya Allahyarham Dato' Meor Abdul Rahman yang merupakan Mahaguru Silat Seni Gayong Malaysia.
Papan Tanda berhampiran Makam Daeng Kuning

Kesimpulannya, nama Panglima Hitam ini telah dipakai dan menjadi simbol kepada seseorang yang tinggi ilmu kependekaran selain mempunyai sifat berani dan setia kepada raja dan negara. Pengiktirafan di atas sifat keberanian dan jasa Panglima-Panglima Hitam ini terbukti apabila nama Panglima Hitam ini telah diabadikan pada Pasukan Khas Laut (Paskal),TLDM sebagai Kapal DiRaja(KD) Panglima Hitam. Selain itu, Kerajaan melalui Jabatan Muzium telah membina semula Makam Panglima Hitam di Taiping dan telah digazet dibawah akta pendaburba sebagai suatu simbol sejarah negara. Semoga kita sama-sama dapat menghayati dan mengambil ikhtibar daripada sejarah Panglima Hitam ini.