|
|
Ramai bersetuju jika dikatakan pelakon Lisa Surihani Mohamed, 24, merupakan antara wanita yang cukup bertuah dilahirkan di dunia dengan pakej yang hampir sempurna.
Setiap drama dan filem yang dibintanginya mendapat sambutan hangat. Drama bersiri Adamaya misalnya menjadi kegilaan penonton pelbagai peringkat umur semasa tayangannya baru-baru ini.
Kelebihan gadis ini bukan sahaja terletak pada seraut wajah yang sedap dipandang kaum lelaki, sepasang mata yang menggoda dan fizikal tinggi lampai. Lebih tepat, ijazah dalam jurusan undang-undang dari Universiti Aberystwyth di Wales menjadi nilai tambah kepada anak keempat daripada lima beradik itu.
Kesempatan membuat carian namanya di Internet menunjukkan rata-rata memuji anak gadis itu sebagai pelakon berfikiran matang dibandingkan dengan usianya yang masih muda.
Pagi Jumaat lalu, saya bertentang mata buat kali pertama dengan Lisa Surihani yang hadir di pejabat Utusan Melayu (M) Bhd. ditemani ibu tersayang, Siti Amira Ahmad, 60. Sememangnya teruja untuk mengetahui 'siapa Lisa' di sebalik gelaran pelakon yang melekat pada dirinya sekarang ini.
Sementara menunggu pelakon itu menyiapkan diri, perbualan seketika dengan Siti Amira mengambil tempat. Kata-kata ibu Lisa, memberi gambaran awal, anaknya itu seorang periang, memahami individu lain dan pemurah.
"Dia suka mencuba benda baru. Itu sebab dia jadi pelakon tapi saya tidak kisah asalkan dia bahagia.
"Lagi pun kerjaya dalam dunia seni ini ada jangka waktunya," katanya sambil memberitahu gemar bertanya sendiri tentang gosip yang melanda anak gadisnya itu.
Perbualan kami terhenti apabila Lisa Surihani muncul dengan gaya sederhana. Dia tidak memerlukan pakaian yang terdedah di sana sini untuk menonjol kecantikan semulajadi yang dikurniakan kepada dirinya.
Sebaik memulakan perbualan, terserlah kepetahan dan kefasihan pertuturan terutama berbahasa Inggeris. Ia cukup melambangkan dia individu yang bijak dan berpendidikan tinggi.
Cuma sedikit kekurangan pada Lisa Surihani, sebutan huruf 'R' tidak sempurna dan bunyi seperti loghat Utara. Tetapi tidak mengapa, itu perkara kecil sahaja.
Prinsip
Lisa Surihani menyerlahkan pendirian sebagai seorang yang serius dalam apa jua bidang yang diceburinya.
Bukan mengejutkan apabila anak perempuan tunggal dalam keluarga itu memberitahu, prinsip hidupnya yang gemar mencuba benda baru selain membaca novel Inggeris berkisar fiksyen dan autobiografi.
Gadis berdarah campuran Bugis itu memberitahu, dia kini sedang cuba mengatasi fobia di tempat tinggi yang membelenggu dirinya.
"Saya gayat tempat tinggi. Sekarang saya cuba kikis dengan melakukan aktiviti menunggang kuda.
"Bayangkan naik kuda itu pun sudah gayat, apatah lagi tempat yang lagi tinggi," katanya tersenyum lebar menampakkan barisan gigi yang putih bersih.
Pelakon yang baru muncul di layar perak menerusi filem Legenda Budak Setan, Zoo dan Kappow lewat kebelakangan ini bertekad perasaan negatif itu akan dapat dihilangkan pada tahun ini.
Pelakon Harapan Wanita Terbaik Filem Festival Malaysia (FFM-21) berkata, keyakinan itu bersandarkan sikap dalam diri yang sentiasa ingin mencuba apa sahaja benda baru dalam hidup.
Lantas, Lisa Surihani membongkar satu rahsia dirinya yang dilahirkan ke dunia sebagai manusia kidal.
Namun ketika berada di tahun kedua pengajian, dia mula berasa letih apabila terpaksa menjawab soalan peperiksaan dengan panjang.
"Sampai satu peringkat, tangan kiri saya menjadi lenguh dan saya menetapkan dalam minda untuk belajar menulis menggunakan tangan kanan setiap hari.
"Tidak sampai sebulan, saya sudah boleh menulis dengan tangan kanan cuma perbezaannya, tulisan tangan kiri adalah kecil dan lebih kemas manakala tulisan tangan kanan nampak besar sedikit," katanya penuh teruja sambil memberitahu sedang sibuk mempelajari Bahasa Perancis ketika ini.
Kepetahan Lisa Surihani semakin menjadi-jadi apabila dia mula mengimbau sikap dirinya di zaman kanak-kanak.
Katanya, dia mencuba apa sahaja bidang termasuk aktif bersukan di sekolah sebagai atlet dalam acara 100 meter, 200 meter, 400 meter, 800 meter, 1,500 meter dan merentas desa.
Tidak cukup lagi, dia turut memasuki kelas ballet, muzik organ dan taekwando hinggalah mempelajari sempoa atau alat hitung untuk melakukan proses-proses aritmetik.
"Saya mencuba semua bidang dan jika berminat saya akan terus dengan bersungguh-sungguh sebaliknya saya akan berhenti apabila minat itu tidak timbul.
"Bagi saya, semua yang lakukan itu tidak salah kerana ia merupakan satu proses untuk mengesan bakat yang ada dalam diri kita," katanya yang terlibat dalam dunia seni seawal usia 11 tahun.
Umpama bertih jagung, bintang jelita itu terus bercerita dari satu topik ke topik dan kali ini mengisarkan kehidupannya dikelilingi adik-beradik lelaki. Kata Lisa Surihani, dunianya penuh warna-warni dan mengakui perwatakan sedikit tomboy kerana sering terikut memakai pakaian lelaki.
"Malah waktu kecil, jangan harap saya hendak bermain dengan anak patung. Sebaliknya, lebih minat dengan alat permainan askar, G.I Joe.
"Mungkin kerana umur kami yang tidak jauh, saya bersama tiga abang dan adik menjadi rapat dan kami satu kepala," ceritanya sambil disulami dengan ketawa kecil mengimbau memori lalu. Dalam keriuhan tawa ria itu, riak wajah Lisa Surihani berubah ditanya tentang bapanya, Allahyarham Mohamed Mahbob yang meninggal dunia pada 31 Oktober 2008 akibat barah.
Menggeletar
Menghela nafas yang berat Lisa Surihani mengakui dia amat merindui lawak jenaka dan tawa lelaki itu kerana mereka begitu rapat sejak kecil.
"Waktu kecil-kecil, bapa selalu suruh picit kakinya dan tiba-tiba dia akan menggeletar kononnya saya tersalah memegang urat.
"Apa pun saya gembira kerana menjadi satu-satu anaknya yang mengikut jejak langkahnya sebagai peguam," katanya yang kembali ceria.
Melewati perbualan hampir seja, Lisa Surihani sempat ditanya ciri-ciri calon suami yang menjadi pilihan hatinya. Sambil mengakui dirinya masih solo, dia ringkas berkata, tidak mempunyai kriteria tertentu dan biarlah ikatan cinta itu datang dengan semula jadi.
"Cukuplah sedap mata memandang dan dapat menerima saya dan keluarga seadanya.
"Sekarang saya tak nak letak sasaran umur bila nak kahwin. Dulu sasar nak kahwin umur 24, sekarang sudah umur 24 pun masih belum ada teman lelaki," jawabnya seraya memandang ibunya.
Menutup perbualan, Lisa Surihani mengharapkan segala aktiviti seninya selepas ini berjalan lancar dan meraih sebanyak mungkin kejayaan agar pencapaiannya menunjukkan graf menaik.
Sebelum beredar pulang, Lisa Surihani penuh rendah diri berkata, "Saya hadir dalam industri hanya kebetulan apabila memiliki pendidikan tinggi. Tetapi jangan anggap artis lain tidak bijak apabila mereka tidak seperti saya.''
Kredit kepada: http://www.utusan.com.my/