“Kunjungan ke Bone ini sudah pasti bukan yang terakhir kali,” demikian antara ungkapan bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Said Keruak, ketika mengadakan perjumpaan dengan masyarakat Bajau di Desa Bajoe, Kabupaten Bone, Sulawesi Selatan, Indonesia, baru-baru ini.
Ungkapan itu pantas mendapat sambutan para tetamu yang hadir, sambil mereka bertepuk tangan sebagai tanda menghargai usaha yang dirintis oleh Salleh untuk menjejaki komuniti Bajau yang tinggal di merata pelosok nusantara ini.
Perjumpaan silaturahim itu dianjurkan oleh masyarakat Bajau/Sama Indonesia di Desa Bajoe, Kabupaten Bone dan mendapat sambutan meriah. Kira-kira 500 orang masyarakat Bajau, yang kebanyakannya bekerja sebagai nelayan, menghadiri pertemuan yang dianggap cukup bersejarah itu.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Camat Tanete Riattang Timur, Andi Ansar Amal S.H; Lurah Bajoe M. Hasbi Arsyad; Kepala Lingkungan Bajo Roso Charing; dan beberapa kakitangan kecamatan termasuk kepala kepolisian setempat.
Wakil khas Bajau/Sama dari Kendari Sulawesi Tenggara (SULTRA), Mohamad Sadar S.Pd., yang juga merupakan Pemangku Setiausaha Agung United Bajau of Southeast Sulawesi-Indonesia (KEKAR-BAJO) turut hadir mengalu-alukan Salleh.
Camat Tanete Riattang Timur, Andi Ansar Amal, S.H. dalam kata-kata sambutannya mengalu-alukan kedatangan Salleh dan mengucapkan terimakasih atas keprihatinan beliau kerana datang begitu jauh untuk mengeratkan hubungan silaturrahim.
Menurutnya, kunjungan itu mempunyai makna yang cukup bersejarah kerana ia bukan hanya merupakan usaha mempererat hubungan dengan masyarakat Bajau/Sama di Bone, malah dengan masyarakat Bugis dan yang lainnya, yang termasuk dalam rumpun kelompok Bangsa Melayu senusantara.
Sementara itu, Salleh yang juga Presiden USBO dalam ucapan balasnya berterima kasih atas sambutan hangat pihak masyarakat Bajau/Sama dan juga rakan-rakan daripada masyarakat setempat yang lainnya.
Menurut beliau, ia bukan sahaja dapat merapatkan semula hubungan kekeluargaan yang terpisah sejak ratusan tahun, malah dapat memperkukuhkan hubungan akrab yang sedia terjalin di antara masyarakat Bajau/Sama dengan masyakat Bugis baik di Bone, Indonesia mahupun di Malaysia, memandangkan masyarakat Bugis juga terdapat dengan ramainya di Malaysia khususnya Sabah.
“Sudah tentulah, kunjungan ke Bone dan Bajoe bukan yang terakhir kali dan saya berharap agar masyarakat Bajau/Sama di kedua-dua negara terus berusaha untuk meningkatkan usaha mereka secara bersama demi manfaat bersama.
“Ini penting bukan sahaja dapat membantu memajukan diri sendiri dan keluarga masing-masing, malah memajukan negara masing-masing secara keseluruhannya,” katanya.
Salleh kemudiannya berlepas balik ke Makassar untuk meneruskan perbincangan dengan rombongan KEKAR BAJO di sebuah hotel terkemuka di Makassar pada sebelah malamnya.
Antara yang menjadi agenda utama perbicangan beliau dengan pihak KEKAR BAJO ialah usaha menbentuk suatu kerjasama di kalangan masyarakat Bajau/Sama melibatkan tiga negara iaitu Malaysia , Indonesia dan Filipina.
Dalam perbincangan berkenaan, Mohamad Sadar S.Pd selaku Pemangku Setiausaha Agung KEKAR-BAJO memberikan taklimat tentang kemajuan dan perkembangan masyasrakat Bajau/Sama di Kendari khususnya dan Indonesia umumnya.
Beliau berpendapat bahawa usaha menghimpunkan komuniti Bajau/Sama dalam suatu wadah yang lebih terarah dan tersusun perlu dilakukan seandainya mereka ingin melibatkan diri secara langsung atau tidak langsung di dalam arus pembangunan negara.
Sehubungan dengan kunjungan Salleh ke Makassar dan Bone, pihaknya menyambut baik cadangan untuk mewujudkan satu bentuk kerjasama di kalangan masyarakat terlibat.
Sementara itu, Salleh menganggap kesedian KEKAR BAJO menerima cadangan pembentukan kerjasama itu sebagai bukti bahawa pemisahan masyarakat Bajau/Sama kepada tiga negara bukanlah halangan untuk mengadakan kerjasama.
Bagaimanapun, Salleh menekankan bahawa apapun cadangan dan pendapat yang dikemukakan oleh Malaysia dan Indonesia dalam soal penubuhan kerjasama itu, pandangan dan keperluan masyarakat Bajau/Sama secara umum hendaklah merangkumi ketiga-tiga negara yang disebutkan, Malaysia dan Indonesia serta Filipina atau mana-mana negara yang mempunyai penduduk Bajau/Sama yang ingin terlibat.
Salleh berpendapat perkara ini penting kerana apapun kelak nama yang akan diputuskan nanti, gabungan kerjasama itu harus mempunyai suatu sekretariat tetap yang akan ditentukan lokasinya dalam perbincangan yang akan datang.
Salleh dan Sadar menyuarakan harapan agar komunikasi Bajau/Sama yang sedang berlaku dapat diperkembangkan supaya ia bukan sahaja dapat dimanfaatkan oleh komuniti Bajau/Sama tetapi juga oleh negara-negara yang terlibat demi kesejahteraan dan keharmonian hidup antara sesama manusia.