Oleh Azrul Affandi Sobry
Persatuan seni silat mempunyai hubungan kuat dengan perjuangan UMNO menuntut kemerdekaan
"BAHAWASANYA, aku taat setia menjadi murid Silat Seni Gayong dan menjadi ahli Gayong. Aku mengaku taat setia kepada Allah. Aku mengaku taat setia kepada Baginda Rasulullah. Aku mengaku taat setia kepada guruku. Aku mengaku taat setia kepada ibu bapaku. Aku mengaku taat setia kepada saudara seGayong denganku."
"BAHAWASANYA, aku taat setia menjadi murid Silat Seni Gayong dan menjadi ahli Gayong. Aku mengaku taat setia kepada Allah. Aku mengaku taat setia kepada Baginda Rasulullah. Aku mengaku taat setia kepada guruku. Aku mengaku taat setia kepada ibu bapaku. Aku mengaku taat setia kepada saudara seGayong denganku."
Sumpah ikrar itu bukan cakap kosong. Bukan seperti janji si kekasih kepada pasangannya yang disaksikan bulan dan bintang. Sumpah setia itu dilafaz sepenuh hati di hadapan kitab suci al-Quran sebagai bukti ia tidak boleh dipermain-mainkan. Ia sekali gus seperti satu amanah yang perlu dipegang sampai mati.
Begitu kuat sekali amanah yang perlu dipikul semua anak Gayong dan ia menjadi satu kunci utama yang membolehkan silat diangkat sebagai antara cara memupuk penyatuan orang Melayu, tambahan pula syarat utama untuk menjadi ahli Gayong ialah beragama Islam.
Tidak cukup dengan itu, Gayong sebenarnya mempunyai hubungan yang amat kuat dengan perjuangan orang Melayu menuntut kemerdekaan, selain terus bertahan menjadi antara pertubuhan silat utama yang menaungi badan pendiri dalam Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) di bawah nama Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM).
Semua bermula dengan kemasukan tujuh pahlawan terbilang berketurunan Raja Bugis yang belayar ke Tanah Melayu untuk menabur bakti dan membela kebenaran melalui ilmu kependekaran masing-masing. Mereka ialah Daeng Merewah, Daeng Telani, Daeng Kuning, Daeng Celak, Daeng Perani, Daeng Mempawah dan Daeng Jalak.
Begitu kuat sekali amanah yang perlu dipikul semua anak Gayong dan ia menjadi satu kunci utama yang membolehkan silat diangkat sebagai antara cara memupuk penyatuan orang Melayu, tambahan pula syarat utama untuk menjadi ahli Gayong ialah beragama Islam.
Tidak cukup dengan itu, Gayong sebenarnya mempunyai hubungan yang amat kuat dengan perjuangan orang Melayu menuntut kemerdekaan, selain terus bertahan menjadi antara pertubuhan silat utama yang menaungi badan pendiri dalam Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) di bawah nama Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM).
Semua bermula dengan kemasukan tujuh pahlawan terbilang berketurunan Raja Bugis yang belayar ke Tanah Melayu untuk menabur bakti dan membela kebenaran melalui ilmu kependekaran masing-masing. Mereka ialah Daeng Merewah, Daeng Telani, Daeng Kuning, Daeng Celak, Daeng Perani, Daeng Mempawah dan Daeng Jalak.
Dikatakan, Daeng Kuning (Panglima Hitam) mendarat di Air Kuning, Taiping seterusnya berkampung di situ. Daripada beliaulah bercambah keturunan yang diwarisi pengasas Gayong iaitu Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman Daeng Uda Mohd Hashim. Beliau mempelajari ilmu Gayong daripada datuknya, Syed Zainal Abidin Al-Attas sejak usianya 12 tahun.
Kehebatan beliau sudah diakui sejak berusia 19 tahun kerana pada ketika itu (1934), beliau sudah menerima gelaran Panglima Sendo Perak oleh Sultan Perak ketika itu, Almarhum Sultan Alang Iskandar sebelum berhijrah ke Singapura pada 1938 untuk berkhidmat sebagai jurulatih seni bela diri kepada anggota Signal Corp di Gulliman Barrack.
Meor Rahman turut diangkat menerima pingat King George pada 1947 atas jasanya melindungi penduduk Pulau Sudong dan sekitarnya daripada ancaman musuh negara. Sejak itulah beliau mula menyebarkan ilmu persilatan ke seluruh Singapura dan Tanah Melayu secara meluas.
Malah, Meor juga bertanggungjawab menubuhkan Sekolah Seni Gayong di Woodlands, Singapura pada 3 Disember 1960 sebelum mendaftarkan silat itu sebagai satu pertubuhan yang sah pada 22 Oktober 1963 dengan nombor pendaftaran 361. Ramai yang mungkin tidak tahu bahawa sebenarnya usaha penubuhan Gayong diusahakan bersama Presiden UMNO pertama, Datuk Onn Jaafar.
Hubungan erat dan usaha ditunjukkan Onn menjadi petanda jelas bahawa Gayong dan UMNO mempunyai pertalian rapat ketika itu sekali gus membuktikan bahawa melalui Gayong juga Melayu dapat bersatu di bawah satu panji pertubuhan silat, bukan sekadar mengharapkan mana-mana parti politik.
Tanggal 23 Jun 1991, Meor Rahman kembali ke rahmatullah dan ia sebenarnya bukan penamat kepada perjuangan anak Gayong dalam mengangkat seni silat itu ke satu tahap lebih baik, malah berterusan mengembangkan panjinya untuk membina perpaduan utuh dalam kalangan orang Melayu.
Yang Dipertua PSSGM, Datuk Adiwijiya Abdullah, berkata semua kepemimpinan Gayong sama ada pada peringkat pusat dan negeri sedang berusaha keras untuk menyatukan semua anak Gayong tidak kira dari cabang atau pecahan mana sekalipun untuk kembali bersama di bawah satu panji Gayong.
Baginya, perpecahan yang berlaku dalam Gayong satu ketika dulu tidak sama sekali merosakkan prinsip dan pegangan Gayong terhadap perjuangan untuk mengangkat martabat Melayu. Malah, baginya Gayong hanya ada satu. Pegangan Gayong hanya pada sumpah taat setia di depan al-Quran.
Pegangan dan istilah Gayong yang menjurus kepada lima huruf jawi iaitu Ga, Alif, Ya Waw dan Nga membawa pengertian cukup mendalam. Ga yakni Genggam, Alif (angkat), Ya (yakin), Waw (waras) dan Nga (ngeri) memberi satu isyarat jelas bahawa anak Gayong menggenggam erat kitab al-Quran, yakin dengan isi kandungannya, mengangkat martabat kitab suci itu ke satu tahap paling mulia, berfikiran waras dengan segala kejadian Tuhan dan ngeri dengan janjikan Tuhan untuk hamba-Nya yang ingkar.
“Anak Gayong tidak boleh bermain-main dengan segala janji ini kerana orang Islam tiada yang sanggup mengkhianati al-Quran. Ke mana pun dia berpijak, sampai mati dia tetap anak Gayong. Itulah kunci utama perpaduan yang terbentuk di bawah panji silat ini. Oleh kerana itulah, selamanya saya sedia berkhidmat untuk Gayong kerana amanah itu.
“Malah, kami dalam jawatankuasa pusat Gayong sudah memutuskan memilih 2010 sebagai tahun perpaduan serta bersedia membuka pintu seluasnya untuk anak Gayong dari cabang mana sekalipun menyertai kami di bawah panji ini. Saya merayu untuk itu, untuk penyatuan Melayu.
“Apa yang kita buat ini adalah sebagai langkah meneruskan hasrat serta amanah Meor Rahman. Ketika hayatnya, beliau selalu berkongsi cita-citanya untuk melihat bangsa Melayu bersatu di bawah panji Gayong. Justeru, selepas meneliti wawasan itu, kami nekad meneruskan perjuangannya yang belum selesai,” katanya dengan penuh semangat.
Paling nyata, usaha murni untuk menyatukan Melayu melalui silat adalah sangat bertepatan kerana tidak dapat dinafikan jika disebut silat, ia tidak dapat tidak pasti dikaitkan dengan orang Melayu. Tidak ada rasanya landasan lain yang boleh meletakkan orang Melayu di bawah satu bumbung atau semeja.
Jika mahu mengharapkan politik, ia sebenarnya semakin menjauhkan orang Melayu kerana terlalu banyak perbezaan pendapat. Namun, melalui silat, sesiapa saja dari parti mana sekalipun masih boleh duduk semeja dan bercakap dalam nada sama.
Malah, usaha penyatuan Melayu di bawah panji Gayong semakin membuahkan hasilnya kerana sehingga kini, hasil usaha tanpa henti, selain mengetepikan kepentingan peribadi, ahli PSSGM sudah mencecah lebih 50,000 orang.
“Sebahagian daripada sajak yang pernah dilontarkan Meor Rahman jelas menceritakan kekuatan Gayong dalam menyatukan Melayu. Rangkap sajaknya berbunyi – Gayong bergayut kata bersahut, kera lotong makan bersama, kalau Gayong sudah menyahut, gunung yang tinggi akan kita paras sama!”
Adiwijaya juga menyatakan kerisauan melihat usaha yang digerakkan orang tertentu untuk menjajah semangat orang Melayu melalui pencabulan keaslian seni silat. Kewujudan silat olahraga yang kini dipertandingkan pada peringkat antarabangsa jelas membunuh elemen asal silat. Semua itu dilakukan kerana berasakan seni silat mempunyai pengaruh kuat untuk menyatukan orang Melayu.
Justeru pengiktirafan yang bakal diberikan PSSGM kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk diangkat sebagai Imam Khalifah Agung pertubuhan itu dengan penganugerahan sandang kehormat Seri Mahkota Agung Bintang Pelangi pada 2 Oktober ini dilihat sebagai satu komitmen mereka ke arah membentuk perpaduan dengan sokongan pemimpin nombor satu negara itu.
Lebih berharga, penganugerahan itu dibuat selepas sejak sekian lama pertubuhan itu tidak mempunyai Imam Khalifah Agung selepas penyandang terakhirnya Tun Abdul Razak Hussein kembali ke rahmatullah.
Kini, anak beliau meneruskan semangat itu atas kapasiti utama sebagai salah seorang pemimpin berdarah kacukan Bugis dan menurut Adiwijaya, memang salah satu syarat memilih Imam Khalifah Agung ialah berdarah Bugis yang kebetulan ada pada Razak dan Najib.
Pada majlis sama, seorang anak jati Gayong yang pernah dimandikan Meor Rahman ketika usianya baru tujuh tahun iaitu Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, turut dianugerahkan sandang Seri Mahkota Agung Relang Pelangi yang mengangkatnya sebagai Timbalan Imam Khalifah Agung.
Membelek amanat terakhir dalam sajak Meor Rahman membuat hati tersentuh seketika - “Esok... Anakku! Dua sinar mata ini akan terus terbuka luas dan tingkah anak-anakku nun di celah-celah kesinambungan Air Kuning, jangan sampai air mataku mengalir lesu. Lambat laun kita akan bertemu, amanat guru tidak dijaga.”
Ia suara hati penuh mendalam, penuh sayu dan sarat dengan kesyahduan lantaran melihat di depan matanya Gayong pernah retak satu ketika dulu dan kini, dengan usaha keras PSSGM, ia seperti mencambahkan secebis harapan untuk melihat Gayong bersatu di bawah panji yang satu. Berdirinya Gayong tidak dua, tidak tiga kerana Gayong hanya satu!
Kredit kepada: http://www.bharian.com.my/