Orang Bugis di Kepulauan Sulu

Dipetik sebahagian daripada Tamatnya Riwayat Bangsa Moro dan Munculnya United Tausug Citizens. Petikan ini adalah bertujuan untuk memaparkan kewujudan Bugis sejak dahulu lagi di kepulauan Sulu. Sekiranya anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang artikel di atas sila lawat blog di bahagian sumber maklumat ini.

Orang Arus Peniaga Mutiara

Penggelaran Melayu itu termasuklah kepulauan Sulu dan Mindanao. Walaupun ketika itu bangsa Tausug sudah lama menguasai laut Sulu dan Sulawesi dengan menggelarkan bangsa mereka dengan Tausug tetapi masih menerima hakikat yang mereka adalah dari rumpun Melayu. Tausug adalah bangsa pedagang sejak dahulu kala. Mereka menjalankan perdagangan mutiara hingga ke Jambi Sumatera malah sudah biasa merentas Laut China Selatan sampai ke Negeri Kayangan China sebagai penjual mutiara. Menurut beberapa catatan dari pencatat sejarah mengatakan rumpun Melayu di Sulu sudah mula terkenal sejak abad ke-7. Bajau Laut telah ada di Pulau Taguima (Pulau Basilan) bekerjasama dengan Orang Taguimaha sebagai penyelam mutiara.

Bermula dari perdagangan mutiara inilah mereka mendapat gelaran “Orang Arus” kerana kebiasaan merentas lautan berdagang mutiara tersebut. Perdagangan mutiara menyebabkan bangsa ini menjadi penguasa sehingga ke Pulau Panay, Manila dan Luzon, Cebu (kata asalnya Sug Bu), Butuan, Kalamianes, Visaya (Naungan Sri Vijaya) hingga Mindanao. Sejarah telah mencatat (dalam catatan Dinasti Ming) bahawa antara sebab utama Tausug menyerang Brunei pada tahun 1368 M adalah kerana Brunei dikatakan telah mencuri dua biji mutiara Sulu. Ketika itu Brunei di bawah pemerintahan Raja Awang Alak Betatar terpaksa melarikan diri ke Johor Lama untuk mengelak dari dibunuh oleh Tausug.

Kaum Ayta atau Agta yang menjadi penghuni asli kepulauan Mindanao memanggil kaum dari Sulu ini dengan panggilan Sulug yang bermaksud Arus. Walaupun penghuni awal Sulu adalah dari kaum Buranun tetapi Panggilan Sulug @ Sug terhadap mereka oleh orang luar diterima sebagai satu penghargaan. Hingga hari ini kaum Visaya, Surigaonun, Hiligaynun, Kagayanun, Suba’anun, Iranun, Maguindanao, Maranao masih memanggil mereka Sulug. Malah orang Brunei juga turut memanggilnya Sulug (Lidah Brunei menyebut Suluk). Kaum Asli Sulu ini memanggil diri mereka sebagai Sulug juga (lidah mereka menyebut Sug, sebagaimana mereka menyebut Bangingi kepada Balangingi – kebiasaan menghilangkan konsonan “L”).

Penggelaran TAUSUG
Setelah kedatangan kaum Baklaya (Bugis) dari Suluwesi (Sulawesi) ke Sulu telah menjadikan bahasa Sulug ini bertambah kaya dengan perbendaharaan kata Bugis. Orang Bugis Baklaya memanggil Orang Sulug @ Sug dengan panggilan Tau-Sug bermaksud Orang Sug (Orang Arus). Dalam bahasa Bugis Tau bermaksud Orang. Sebab itu mengapa orang Bugis di Sulawesi, Indonesia memanggil Tau-Gi’ (Orang Bugis) kepada diri mereka hingga hari ini. Perhubungan Orang Bugis dengan Tausug sejak dahulu kala adalah sangat rapat. Tau-Gi’ dan Tau-Sug berkahwin campur sesama mereka sejak zaman kegemilangan Kesultanan Makassar lagi. Sultan Badaruddin I dari Sulu sendiri berkahwin dengan wanita Soppeng dari Tanah Bugis. Kadangkala Daeng-daeng Bugis datang ke Sulu untuk membeli hamba kerana sejak abad ke-17 lagi Tausug adalah yang paling terkenal dengan jual beli hamba.

Sumber: http://www.tausug-global.blogspot.com/