Salasilah Daeng Saring @ Daeng Saieng Di Sipitang, Sabah

Salam, berikut ini saya petik dari laman blog http://daengsaring.blogspot.com/ berkenaan Salasilah Daeng Saring @ Daeng Saieng Di Sipitang, Sabah.

Pengenalan

Daeng Saring @ Daeng Saieng adalah salah seorang yang dipercayai berasal daripada keturunan Kerajaan Riau yang telah memasuki kepulauan Borneo melalui Brunei dan dipercayai keturunan beliau kini berada di sekitar Brunei, Sarawak, Sabah dan W.P.Labuan. Sehubungan dengan itu, maka terhasilnya Blog ini bagi bertujuan untuk menjejaki Salasilah Keluarga Daeng Saring @ Saieng yang berada di sekitar Borneo dan berkemungkinan juga telah berada di Semenanjung Malaysia, Indonesia, Filipina dan kawasan-kawasan sekitarnya.

Mukadimah


Assalamualaikum wbkt…


Daripada penceritaan secara lisan, dipercayai asal usul Salasilah Daeng Saring adalah berasal daripada Johor-Riau, cuma tidak dapat dipastikan sejauhmana kebenarannya memandangkan tiadanya sebarang bahan rujukan yang dapat membuktikannya, dan baru-baru ini saya telah cuba mencari bahan-bahan bagi mempastikan dakwaan itu berasas.

Penceritaan secara lisan yang diperolehi daripada keluarga yang terdahulu, ada menceritakan akan Salasilah Daeng Saring adalah berasal daripada Johor-Riau.

Sinopsis ceritanya lebih kurang begini :

“Semasa berlaku perpecahan di Riau dahulu berlakunya pertengkaran antara ahli keluarga/pembesar yang puncanya daripada perebutan kepada seorang wanita, akibat daripada itu Daeng Saring bersama adiknya Daeng Kemboja telah melarikan diri ke Borneo melalui Brunei, seterusnya ke Lawas Sarawak. Daeng Saring telah berkeluarga di Sundar, Lawas Sarawak dan tidak mahu lagi balik ke Riau, manakala adiknya Daeng Kemboja telah balik ke Riau.

Dalam perjalanan balik ke Riau, sampai di Johor, telah berlaku satu peristiwa di mana beliau telah didatangi oleh seekor Gajah yang mana sepertinya beliau telah dinobatkan oleh Gajah tersebut untuk ditabalkan menjadi Raja (mengikut penceritaan secara lisan tersebut, Gajah tersebut dapat mengenal akan keturunan Raja-Raja, tak tahu sejauh mana kebenarannya), kebetulan pula pada masa tersebut diceritakan kerajaan Johor tidak mempunyai Raja”.

Jadi begitulah serba sedikit ringkasan ceritanya. Daripada itu saya cuba mencari maklumat melalui laman2 web berkaitan sejarah Bugis Johor-Riau. Dalam pencarian tersebut saya mencari-cari zaman mana yang ada keturunan Daeng-Daeng ini. Memandangkan saya ni bukan juga seorang yang arif pasal sejarah, maka saya sangat teruja bila mendapati adanya nama Daeng Kemboja dalam Salasilah Kesultanan Melayu Johor-Riau, sebaliknya pula saya tidak menemui akan nama Daeng Saring, dan daripada apa yang diperolehi, tiadapun sebarang nama yang berkaitan dengan Daeng Saring dalam Salasilah Daeng Kemboja tersebut. Daripada ini membuatkan saya menjadi keliru adakah Daeng Kemboja yang diceritakan secara turun temurun tersebut itu adalah orang yang sama atau berlainan. Tapi bila dilihat dari logik akal dari mana datangnya nama Daeng Kemboja seperti yang diceritakan secara turun temurun itu.???. ataupun bagaimana keluarga yang terdahulu tahu akan maklumat tersebut seperti nama Daeng Kemboja. Saya ada juga diberitahu akan adanya salasilah bertulisan jawi yang diperbuat daripada kulit kambing yang telah dibawa bersama semasa Daeng Saring dan Daeng Kemboja sampai ke Borneo dahulu, tetapi difahamkan salasilah tersebut telah tidak dapat dikesan.

Maka dengan itulah, salah satu daripada matlamat pembangunan Blog ini ialah bagi mengumpulkan sebarang maklumat, pandangan atau cadangan daripada para pengunjung yang berkemungkinan juga adalah merupakan salah seorang daripada Salasilah Keluarga ini bagi menjejak Salasilah ini agar dapat mengeratkan lagi perhubungan silaturahim.

Setakat ini Salasilah Daeng Saring@Saieng yang telah berjaya dikumpulkan adalah sebanyak 10 generasi iaitu daripada 2 orang anak beliau iaitu Panglima Hj. Laut dan Tanjung. Berkemungkinan juga terdapat lagi anak-anak Daeng Saring yang tidak diketahui. Ini adalah kerana daripada penceritaan keluarga yang terdahulu menyatakan berkemungkinan ada keturunan Daeng Saring yang berada di sekitar Brunei, Lawas Sarawak dan yang berdekatan. Hujah tersebut juga disokong dengan kedudukan makam Panglima Hj. Laut Bin Daeng Saring yang berada di daerah Lawas Sarawak.

Selain itu, daripada 10 generasi Daeng Saring yang telah berjaya dikumpulkan juga, tiadanya terdapat sebarang rekod/maklumat berkaitan dengan anak Daeng Saring yang ke-2 iaitu daripada Tanjung. Maklumat terakhir yang diperolehi adalah setakat anak kepada Tanjung iaitu Kalsom sahaja. Daripada Kalsom ini juga telah berlaku satu peristiwa yang berkemungkinan berkaitan dengan Kesultanan Sulu pada masa dahulu sehingga ada di antara salah seorang daripada salasilah Daeng Saring ini menggunakan kembali nama ‘Kalsom’ ini bagi mengingati peristiwa yang berlaku tersebut. Dipercayai keturunan daripada Kalsom ini berkemungkinan berada di Selatan Filipina.

Begitulah serba sedikit mukidamah yang telah mendorong kepada pembangunan Blog ini yang mana melalui Blog ini segala rekod berkaitan Salasilah Keluarga dapat dikumpulkan dan dipelihara dengan baik sebagai satu warisan zaman berzaman yang menjadi khazanah untuk pengetahuan bagi generasi yang akan datang.

Sekian, Wasalam.